GEMAS, 14 Feb – Tentera Darat Malaysia (TDM) merancang untuk memperluaskan ladang integrasi kepada aktiviti ternakan di setiap kem di seluruh negara pada masa akan datang.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, ladang ternakan tersebut membolehkan mereka mendapatkan barangan basah pada harga yang lebih murah berbanding di pasaran, sekali gus dapat membantu meringankan kos sara hidup warganya.
“Pada peringkat awal ini, kita buat benda-benda mudah dulu, nanti akan perluaskan kepada ayam, kambing dan ikan, sebab ia ladang integrasi jadi ia perlu meliputi semua sekali, lebih komprehensif,
“Ia sama juga dibuat di zon lain, ladang mesti boleh keluarkan semua sekali bukan hanya sayur-sayuran,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ladang Integrasi Tentera Darat, di Kem Syed Sirajuddin, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga berharap agar ladang integrasi sebegini diperluaskan di setiap kem TDM di zon utara, selatan termasuk di Sabah dan Sarawak bagi memberi peluang pekerjaan kepada ahli keluarga anggota serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Sekiranya benda ini berlaku, di masa yang akan datang, ia akan dapat menampung ataupun mengurangkan beban seharian kehidupan anggota-anggota untuk semua warga TDM,
“Anggota tetap teruskan tugas menjaga keselamatan negara, ia bagi isteri yang tak kerja atau anak yang tengah tunggu sambung belajar mungkin boleh kerja di sini (ladang),
“Pembukaan ladang ini juga sebab kita tak mahu tanah terbiar dan kosong, sayang kalau tidak digunakan,” katanya lagi.
Inisiatif projek rintis kelestarian makanan merupakan satu kolaborasi di antara TDM dan Syarikat Desatera Sdn Bhd dalam menambah baik kualiti hidup warganya.
Memorandum Persefahaman diantara TDM dengan Desatera telah dimeterai pada 9 Ogos 2021.
Mengulas lanjut, Zamrose berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, beliau yakin kerjasama dengan pihak Desastera dapat melaksanakan ladang integrasi ini dengan meluas dan sebaik mungkin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Desatera, Datuk Paduka Feizal Nor Nurbi berharap kerjasama berkenaan dapat memacu aspirasi bagi memperkasakan objektif kelestarian dan keselamatan makanan supaya memberi manfaat kepada warga tentera dan rakyat di negara ini.
“Pada masa ini kita hanya menggunakan 50 peratus daripada tanah yang disediakan untuk ladang ini dengan pulangan sekitar RM25,000 hingga RM35,000 sebulan, sekiranya tanah ini dapat dimanfaatkan keseluruhan, kita sasar akan mampu dapat RM50,000 ke RM60,000 sebulan,” katanya.
Terdahulu, Zamorse merasmikan Kiosk Tani Markas Garison sebagai simbolik perasmian Ladang Integrasi Tentera Darat, Kem Syed Sirajuddin.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman. -airtimes.my