KUALA LUMPUR, 14 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan Malaysia bersedia untuk menghantarkan bantuan kepada Syria.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
“Kerajaan Malaysia dalam mesyuarat kita sejak minggu lalu telah menetapkan bahawa kita tetap akan mengirim pasukan membantu sebaik sahaja ada sambutan dari kerajaan Syria,
“Tetapi yang telah diputuskan adalah dana, alat-alat perubatan dan paling akhir, Menteri Pertahanan menjelaskan untuk membawa satu kelengkapan hospital dari tentera untuk dipasang di Syria,” kata Anwar ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri menegaskan keputusan untuk membantu Syria dibuat sebelum Amerika Syarikat memberikan pelepasan sekatan terhadap negara timur tengah itu.
Malah, kerajaan membuat keputusan untuk menyalurkan bantuan tanpa menghiraukan dasar yang digubal oleh Washington.
“Dari awal lagi, kumpulan dana itu kita nak putuskan untuk juga untuk membantu Syria dan mengirim alat perubatan walaupun pada ketika itu Amerika Syarikat belum memberikan pelepasan sanction (sekatan),
“Soal kemanusiaan dan bantuan kepada mereka itu, kita tidak menghiraukan dasar Amerika,” ujar beliau.
Terdahulu, Anwar menyatakan Pasukan Peninjau Khas ke Damsyik akan berlepas ke Syria pada hari ini.
“Pasukan Peninjau khas ke Damsyik yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri akan berlepas ke Syria pada 14 Februari 2023,
“Komposisi pasukan terdiri daripada NADMA, KLN, Bahagian Penyelidikan (JPM), Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi yang berkaitan termasuk NGO-NGO yang berkepakaran,
“Lawatan ini adalah amat penting bagi mengenal pasti barangan keperluan yang diperlukan dan laluan yang selamat bagi penyaluran sumbangan kepada Syria di samping membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa di Syria,” kata Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada Datuk Iskandar Dzulkarnain, Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
Menurut Anwar, Sekretariat bagi penyaluran bantuan kemanusiaan ke Syria di bawah kendalian Kementerian Luar Negeri telah beroperasi pada 13 Februari 2023. Satu perbincangan bersama Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Syria di Kuala Lumpur telah diadakan pada hari yang sama.
“Ia bagi mendapatkan butiran mengenai situasi sebenar di Syria serta keperluan kritikal yang amat diperlukan ketika ini dan lokasi-lokasi yang terjejas teruk,” katanya. – airtimes.my