Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat sedia tambah anggota di Turkiye jika diperlukan

Tentera Darat sedia tambah anggota di Turkiye jika diperlukan

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 13 Feb – Tentera Darat Malaysia (TDM) bersedia menambah jumlah pegawai dan anggotanya dalam membantu misi kemanusiaan mangsa gempa bumi yang melanda Turkiye pada Isnin lalu.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, setiap anggotanya sentiasa bersedia diaturgerakkan sekiranya diperlukan terutamanya dalam misi seperti ini.

“Saya jangka mungkin ada pertambahan anggota, tetapi masih tidak dapat arahan lagi. Kita ikut arahan dari Pejabat Pedana Menteri yang akan disalurkan kepada Majlis Keselamatan negara (MKN),

“Kemungkinan itu ada, dan kami bersedia. Pada ketika ini, terdapat seramai 110 anggota tentera dan mereka terlatih dengan pelbagai operasi serta situasi,

“Mereka akan melaksanakan misi yang di jangkakan selama 6 minggu namun akan dilanjutkan sekiranya perlu dan saya yakin mereka disana mampu lakukan yang terbaik dalam menangani situasi disana,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Tentera Darat Ke- 90 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.

Dalam pada itu Zamrose berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga dijangka membina sebuah lagi Hospital Medan Malaysia (HMM) di Turkiye namun dengan skala lebih kecil dalam membantu misi tersebut.

“Kumpulan tinjau akan bergerak dalam masa terdekat bagi mengenal pasti lokasi bagi membina hospital itu. Bagaimanapun, hospital ini dijangka lebih kecil dan tidak mempunyai dewan bedah seperti di Adiyaman,

“Kemungkinan mewujudkan sebuah lagi (hospital medan) dan akan menerima arahan selanjutnya daripada semasa ke semasa,” ujarnya lagi.

Pada 11 Februari lalu, ATM telah menghantar kumpulan terakhir iaitu seramai 41 anggota pasukan perubatan bagi mengendalikan operasi HMM di Turkiye.

Keseluruhan 110 pegawai dan anggota ATM itu diketuai oleh Brigedier Jeneral Datuk Dr. Amran Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi, diterbangkan ke Turkiye dengan 3 fasa penghantaran bermula 10 Februari menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersial.

HMM akan ditempatkan di Adiyaman dengan bantuan koordinasi dari Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Hospital Medan Tahap 3 berkapasiti 60 buah katil dilengkapi dengan kemudahan wad, Bilik Pembedahan (Operation Theatre Room), Unit Rawatan Rapi (Intensive Care Unit Room), Radiologi dan makmal.

Ianya juga menawarkan 9 kepakaran iaitu Perubatan Primer, Orthopedik, Pembedahan, Anesthesia, Maxilo-Facial, Obsterik & Ginekologi, Pediatrik, Opthalmologi dan Perubatan Kecemasan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!