KUALA LUMPUR, 13 Feb – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri terakhir sebelum baginda menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Januari tahun depan.
Al-Sultan Abdullah bertitah, terpahat dalam sejarah negara bahawa baginda merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan 4 orang Perdana Menteri bersama 4 jemaah menteri berlainan.
“Beta telah bersemayam di atas taktha singgahsana kerajaan Malaysia bermula 31 Januari 2019. Sehingga hari ini Beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk dilupakan,
“Beta berharap Perdana Menteri Ke-10 adalah yang terakhir buat Beta sebelum Beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur. Namun ini semuanya adalah ketentuan Allah S.W.T. Manusia merancang Allah menentukan segalanya,
“Masa berlalu begitu pantas sekali, sepantas awan yang berarak pergi. Pada 30 Januari 2024, Beta akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16,” titah baginda semasa menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini.
Al-Sultan Abdullah berkata, kemelut politik yang membelenggu negara hampir 4 tahun boleh dielakkan jika ahli politik negara bersedia untuk mengenepikan perbezaan dan bersatu padu atas dasar menjaga kepentingan rakyat dan negara.
Titah baginda, negara pada usia 66 tahun sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh.
Baginda bertitah, jika kepelbagaian; kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, beta khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya.
“Sebagai pesanan terakhir Beta kepada ahli-ahli yang berhormat sekalian janganlah bersikap hanya menilik balas dan menanti pujian. Jagalah nama baik dan kehormatan dewan yang mulia ini dan berkhidmat setulus hati sebagai wakil rakyat.
“Ketepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan. Kestabilan lanskap politik menerusi ikatan perpaduan dari ahli-ahli yang berhormat hendaklah dijadikan sebagai menifestasi dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang,” katanya.-airtimes.my