Home SemasaGlobal Britain kekurangan peluru kerana pengurangan perbelanjaan pertahanan

Britain kekurangan peluru kerana pengurangan perbelanjaan pertahanan

by M.Daim

LONDON, 12 Feb – Pasukan tentera Britain didakwa tidak mampu untuk mengetuai pasukan tindak cepat (QRF) NATO pada tahun 2024 berikutan kekurangan peluru dan juga anggota tentera.

Difahamkan NATO telah meminta Jerman melanjutkan tempoh untuk mengetuai QRF perjanjian itu.

“Terdapat masalah kekurangan peralatan dan peluru yang serius kerana pengurangan perbelanjaan,

“Isu ini turut timbul kerana bilangan peluru dan ordnans yang dibekalkan oleh Britain kepada Ukraine,” lapor media Britain.

Menurut laporan itu, permintaan NATO  telah didedahkan oleh media Jerman, Table.Media.

Jelasnya, NATO telah menyuarakan kebimbangan terhadap kemampuan United Kingdom untuk mengambil alih QRF yang turut dikenali sebagai Very High Readiness Joint Task Force (VJTF).

VJTF merupakan kumpulan tempur yang ditubuhkan pada tahun 2014 dan menjadi barisan pertama untuk menghalang kemaraan Rusia sekiranya negara kuasa besar itu menyerang NATO.

Tugas untuk menerajui kumpulan yang digariskan untuk mempunyai 5,000 anggota ini adalah dilakukan secara giliran dari tahun ke tahun.

Menurut NATO, VJTF merupakan salah satu bentuk tindak balas yang lebih cepat terhadap perubahan keadaan keselamatan di kawasan timur dan selatan sempadan NATO.

Laporan Daily Mail turut menyebut United Kingdom berada dalam keadaan yang paling lemah semenjak Perang Dunia ke-2 tamat.

Negara pulau itu dilaporkan mempunyai bilangan keanggotaan tentera darat yang paling kecil dalam sejarah 4 abad. Selain daripada itu, angkatan laut Britain dilaporkan lebih kecil jika dibandingkan dengan kemampuannya pada tahun 1982. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!