Home Pertahanan dan Keselamatan Serbuan penempatan haram: Warga asing tiada niat pulang ke negara asal – Imigresen

Serbuan penempatan haram: Warga asing tiada niat pulang ke negara asal – Imigresen

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan, kesemua rakyat Indonesia yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah penempatan haram di Nilai baru-baru ini dipercayai tidak berniat untuk pulang kembali ke negara mereka.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, berdasarkan pemeriksaan, kesemua 67 orang warga asing itu sebaliknya ingin terus berada di negara ini dalam tempoh yang panjang walaupun tanpa dokumen yang sah.

Beliau berkata, perkara tersebut berdasarkan pemerhatian terhadap penempatan tersebut yang merupakan sebuah perkampungan yang telah lama wujud di dalam kawasan hutan.

“Penempatan tersebut berada di kawasan yang tidak rata dan berpaya,

“Akses ke kawasan tersebut dengan berjalan kaki adalah sejauh 1.2 kilometer, dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar,

“Kawasan tersebut juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti beberapa unit set generator dan sekolah yang menggunakan sukatan pelajaran pendidikan negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang bertajuk Suruhanjaya Indonesia kecam serbuan pekerja asing di Nilai Spring yang disiarkan baru-baru ini.

Menurutnya, dalam operasi itu, seramai 68 warga Indonesia diperiksa dengan 67 daripadanya berusia lingkungan 2 bulan hingga 72 tahun.

“Mereka terdiri daripada 11 orang lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 orang kanak-kanak perempuan,

“Kesemua mereka ditahan berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,

“Kesemua tahanan berkenaan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, di sini untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata operasi penguatkuasaan berkenaan serbuan itu tidak terkait dengan pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) yang bermula pada 27 Jan lepas.

Khairul Dzaimee berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang bertajuk Suruhanjaya Indonesia kecam serbuan pekerja asing di Nilai Spring yang disiarkan baru-baru ini.

Menurutnya, RTK 2.0 bertujuan memastikan warga asing yang berada dan bekerja dalam negara secara tidak sah diregularisasi untuk bekerja secara sah dan pelaksanaan itu juga bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam negara serta menguatkuasakan undang-undang imigresen.

“Dalam hal ini, pendatang tanpa izin seharusnya mengambil peluang menyertai program RTK 2.0 ini untuk terus berada di Malaysia secara sah,” ujarnya.

Mengenai aspek kebajikan tahanan di depot tahanan imigresen pula, beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan kesemua aspek kebajikan tahanan terjaga dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan termasuk kebajikan kepada tahanan wanita dan kanak-kanak.

Katanya perkara itu juga antara agenda perbincangan semasa pertemuan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Tenagakerjaan Ida Fauziyah serta Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Yasonna H. Laoly pada 31 Januari lalu.

Beliau berkata, kemasukan dan keberadaan warga asing di negara ini tertakluk kepada dasar, peraturan serta perundangan termasuk keperluan memiliki dokumen perjalanan yang sah, mematuhi tempoh keberadaan yang dibenarkan serta pematuhan kepada syarat-syarat pas dikeluarkan.

“JIM akan sentiasa memastikan perkara ini dilaksanakan dengan teratur bagi mempastikan elemen keselamatan dan kedaulatan negara tidak terancam dan dikompromi,

“JIM juga sedang mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal pada kadar segera,” ujarnya lagi. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!