Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Johor patahkan cubaan seludup diesel

APMM Johor patahkan cubaan seludup diesel

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 7 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili berjaya mematahkan cubaan sebuah kapal tangki yang melakukan aktiviti penyeludupan keluar 8,000 liter minyak diesel secara haram lewat malam tadi.

Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kejadian berlaku jam 10.05 malam, selepas sepasukan anggota APMM yang sedang membuat rondaan di perairan Sungai Lebam, berjaya mengesan kapal berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan ke atas kapal mendapati kapal disyaki baru selesai melakukan kerja-kerja pemindahan minyak diesel,

“Kapal tangki yang berdaftar dari Zanzibar itu dikendalikan oleh 8 orang kru warga Indonesia berumur di antara 19 hingga 60 tahun. Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen mengenai muatan diesel yang dipercayai telah dipindahkan dari lori tangki di lokasi berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kapal tangki yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak telah ditahan di perairan Sungai Lebam, malam tadi.

Nurul Hizam berkata, kapal seterusnya ditahan dan diiringi ke Jeti Pos APMM Pengerang untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Peraturan 18 Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kastam 1967.

Menurutnya, siasatan lanjut telah membawa kepada penemuan 2 buah lori tangki bersama sebuah pam minyak dan hos minyak sepanjang 500 meter yang disyaki digunakan bagi aktiviti pemindahan haram ini di ladang Kilang Sawit Adela.

“Pemeriksaan ke atas kedua-dua lori tangki itu dipercayai membawa muatan lebih kurang 80,000 liter diesel disyaki bersubsidi,

“Kedua-dua pemandu lori tangki terbabit juga gagal mengemukakan lesen memandu serta mengaku membawa diesel tersebut dari Seremban ke lokasi kejadian tanpa memiliki permit yang sah berkaitan pemilikan barang kawalan tersebut,” ujarnya lagi.

Tambahnya, kapal tangki ini juga pernah ditahan pada 20 Januari lalu atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran di posisi 1.5 batu nautika tenggara Teluk Ramunia dan kini ditahan kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!