Home Semasa Gempa bumi: 70 anggota SMART berlepas ke Turkiye malam tadi

Gempa bumi: 70 anggota SMART berlepas ke Turkiye malam tadi

by Nurulhuda

KUALA UMPUR, 7 Feb – Malaysia menghantar 70 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu usaha mencari serta menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Pasukan SMART yang terdiri daripada pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) dan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (HAZMAT) berlepas malam tadi ke Istanbul menerusi penerbangan Turkish Alirlines.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Wisma Putra dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali untuk mengambil tindakan segera dengan menghantar pasukan SAR ke Turkiye setelah gempa bumi menjejaskan 10 wilayah.

Anggota SMART sedang melakukan persiapan untuk misi SAR gempa bumi di Turkiye – Foto ihsan NADMA

“Kementerian Luar bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kedutaan Malaysia di Turkiye serta Kedutaan Turkiye di Malaysia akan menyelaras operasi untuk memastikan gerak kerja di negara itu kelak berjalan lancar tanpa menimbulkan kesulitan,

“Saya berhubung dengan Menteri Luar Turkiye, Mevlut Cavusoglu untuk mendapatkan gambaran di sana dan beliau menyuarakan perlu kesegeraan antaranya bantuan SAR dan akan disusuli dengan bantuan perubatan dan misi kemanusiaan yang lain,” katanya seperti dilaporkan Bernama malam tadi.

Terdahulu, Armizan dalam kenyataan berkata, pasukan itu dihantar selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Malaysia akan menghantar pasukan SMART bagi membantu usaha SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye,

“Proses penghantaran pasukan SMART dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada Kerajaan Turkiye,” katanya pada Isnin.

Jelasnya, pasukan SMART menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016, membolehkan ia dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.

Petugas penyelamat mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan di Diyarbakir, selatan Turkiye. – AGENSI

Pada Isnin, media antarabangsa melaporkan gempa bumi dengan kekuatan magnitud 7.9 menggegarkan selatan Turkiye, dengan angka kematian terkini melebihi 1,800 orang termasuk di kawasan berjiran di Syria.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi berlaku jam 4.17 pagi (waktu tempatan) yang mengorbankan lebih 900 orang di Syria dan Turkiye.

Gegaran menyebabkan puluhan bangunan dilaporkan musnah termasuk kompleks-kompleks kerajaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!