KUALA LUMPUR, 6 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi mencabar Khairy Jamaluddin untuk menubuhkan parti baru sekiranya benar mempunyai ‘magnet’ atau daya tarikan yang mampu menarik sokongan orang muda.
Cabaran itu dibuat bagi mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan pemecatan bekas ahli Parlimen Rembau dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, ibarat menghapuskan ‘magnet’ menarik sokongan orang muda terhadap parti.
Dalam pada itu, Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, turut mempertikaikan kepemimpinan Khairy ketika mengemudi sayap UMNO dahulu.
“Ismail Sabri kata, Khairy ada ‘magnet’. UMNO rugi kerana buang ‘magnet’ untuk tarik orang muda,
“Masa Khairy jadi Ketua Pemuda ramaikah anak muda ditarik oleh ‘magnet’ Khairy untuk sokong UMNO?
“Mungkin anak muda sokong Khairy tetapi bukan pada UMNO. Khairy tidak merayu pemecatannya. Apa salahnya Khairy tubuh parti baru. Kita tengok apakah anak muda akan berduyun masuk ikut ‘magnet’ Khairy,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, UMNO akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan semula sokongan golongan muda berikutan tindakan parti itu memecat pemimpin kritis seperti Khairy.
Naib Presiden UMNO itu berkata, partinya telah mengambil langkah ke belakang dengan isyarat yang salah kepada golongan muda.
Mengulas lanjut, Puad berkata, sekiranya Khairy tidak seberani Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman untuk menubuhkan parti baru beliau boleh menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau PAS.
“Khairy boleh buktikan magnet dia ok. Jangan pula jadi penumpang kepada parti itu,
“Ismail Sabri silap. Patut dia cadang pada MKT supaya Khairy ganti dia (Ismail Sabri) sebagai poster boy di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu,
“Alasannya dia tidak ada magnet. Khairy ada magnet. Ruginya UMNO kalau betul,” ujarnya lagi. -airtimes.my