Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Eksesais Urban East Coast Tiger perkukuh kesiagaan 16 RAMD dalam OBUA

Eksesais Urban East Coast Tiger perkukuh kesiagaan 16 RAMD dalam OBUA

by Nurulhuda

KOK LANAS, 4 Feb – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Batalion Keenam Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) telah melaksanakan Eksesais Urban East Coast Tiger Siri 1/2023 yang berkonsepkan Operation In Build-Up Area (OBUA) pada 30 Januari 23 sehingga 3 Februari lalu.

Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, eksesais yang dilaksanakan di Perkampungan OBUA Kem Desa Pahlawan ini adalah sebahagian daripada persiapan pasukan bagi menghadapi Eksesais Keris Strike Siri 28/23 mulai 17 Julai hingga 4 Ogos 23 nanti.

Menurutnya, pelaksanaan eksesais ini telah melibatkan seramai 5 orang pegawai dan 89 anggota yang diketuai oleh Ketua Komp A, Mejar Mohammad Shafiq Abd Rahman serta dibantu oleh jurulatih dari Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) yang diketuai oleh Mejar Hairin Mohd Razali.

“Eksesais dimulakan dengan Kelas Pengenalan OBUA yang disampaikan oleh jurulatih dari PULADA kepada warga Harimau Pantai Timur,

“Kemudian diteruskan dengan latihan Rapid Drill Exercise (RDX) dan OBUA Drill Exercise (ODX) bagi tujuan memperkenalkan serta memperkemaskan pengendalian senjata, taktik termasuk teknik bagi Operasi di Kawasan Terbina,” jelas 8 Bgd.

Kemuncak kepada eksesais ini adalah serangan akhir ke atas lokasi musuh di kawasan terbina Sektor Phanter yang turut disaksikan oleh Pegawai Memerintah 16 RAMD, Leftenan Kolonel Mohd Azmi Mohd Nor, sebelum diteruskan dengan upacara penutup dan menanggalkan toha latihan.

Dalam ucapan penutup, Mohd Azmi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam eksesais ini terutamanya jurulatih dari PULADA kerana membantu pasukan dalam merealisasikan eksesais ini.

Beliau amat berbangga dengan seluruh warga Harimau Pantai Timur kerana telah mempamerkan tahap dan kualiti latihan yang membanggakan serta kekal positif dalam menimba ilmu.

“Aktiviti ini sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan,” jelasnya. -airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!