Home Pertahanan dan Keselamatan 9 PATI Indonesia baru mendarat dicekup di Sungai Buntu

9 PATI Indonesia baru mendarat dicekup di Sungai Buntu

by Nurulhuda

BATU PAHAT, 3 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Batu Pahat menahan 9 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di perairan Sungai Buntu, Pontian, semalam.

Pengarah Zon APMM Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan orang awam mengenai sebuah bot berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di perairan Sungai Buntu pada pukul 4.30 petang.

“Bot APMM kemudian diatur gerak ke lokasi sekitar pukul 3.30 pagi. Setibanya di lokasi didapati tiada bot seperti dilaporkan namun pemantauan terperinci di sekitar kawasan berkenaan membuahkan hasil apabila berjaya mengesan PATI tersebut berada di kawasan berlumpur kira-kira 0.16 batu nautika barat daya Sungai Buntu,

“3 daripada 5 anggota APMM bertindak terjun dari bot menyusuri kawasan cetek untuk mengejar suspek yang cuba melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, seramai 9 lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 35 hingga 67 tahun ditahan dan pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke negara ini.

Tambahnya, semua PATI berkenaan dibawa ke Zon APMM Batu Pahat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan.

“APMM akan terus memastikan perairan Johor selamat, aman dan terkawal,

“Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau talian kecemasan MERS 999,” jelasnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!