Di sebalik kekacauan khabar pengurangan perolehan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS), Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob menyatakan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk memperolehi aset baharu dalam masa terdekat.
Sudah tentu ia berkisar dengan perolehan kumpulan kedua Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) Batch 2 atau lebih dikenali sebagai LMSB2.
Keinginan untuk memperolehi LMSB2 telah pun disuarakan oleh angkatan laut negara semenjak tahun lalu.
Malah, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Kapten Yang Dipertua TLDM telah bertitah akan kebimbangan Baginda terhadap keberadaan aset armada negara.
Ini dengan melihat status semasa aset tentera laut negara yang menghadapi isu kekangan aset berkeupayaan tempur dan juga berusia.
Dalam sidang media pasca Majlis Perutusan Panglima Tentera Laut ke-18, Abdul Rahman menjelaskan perolehan LMSB2 sememangnya hasrat TLDM memandangkan isu kekurangan aset kombatan sudah mula menjadi perhatian.
“Kita masih lagi berusaha sepenuh tenaga kita untuk memastikan perolehan ini dapat direalisasikan,
“Kita memang kekurangan aset-aset berkeupayaan tempur untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara,” katanya.
Seperti yang kita sedia maklum, LMS merupakan sebahagian daripada komponen Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM. Komponen-komponen lain adalah LCS, New Generation Patrol Vessel (NGPV), Multi Role Support Ship (MRSS) dan kapal selam.
Di bawah perancangan tersebut, TLDM menggariskan untuk memiliki sebanyak 18 buah LMS pada tahun 2050.
Sehingga kini, perolehan LMS satu-satunya yang telah berjaya dilaksanakan dengan penerimaan keempat-empat kapal kelas tersebut dari China Shipbuilding and Offshore International Company (CSOC).
Bagi memudahkan pemahaman, keempat-empat kapal yang diterima dari China secara berperingkat dari 2020 hingga 2022 kita satukan sebagai kapal kelas Keris. Kelas ini merangkumi KD KERIS (111), KD SUNDANG (112), KD BADIK (113) dan KD RENCONG (114).
Kesemua kapal-kapal ini ditempatkan di bawah Skuadron LMS.
LMSB2 lebih ampuh berbanding LMS pertama?
Dalam pada itu, Abdul Rahman menyatakan LMSB2 mempunyai kekuatan kombatan yang lebih baik berbanding LMS yang sedang dioperasikan oleh TLDM.
“Kita memerlukan LMS yang mempunyai keupayaan tempur, berbanding 4 LMS daripada China,
“Untuk yang akan datang (LMSB2), kita nak kan dia dilengkapi dengan peralatan-peralatan tempur,” ujar beliau.
Menyelusuri spesifikasi persenjataan LMS dari China di portal rasmi PUSMAS TLDM, kapal kelas Keris dilengkapi dengan meriam utama 30mm CS/AN 3. Sudah pasti timbul persoalan bahawa kapal ini tidak mempunyai sebarang persenjataan khusus untuk misi pertahanan udara, anti permukaan atau pun anti kapal selam.
Pun begitu, sehingga kini masih belum terdapat sebarang maklumat atau laporan menyatakan perolehan tambahan modul untuk kapal kelas Keris.
Akan tetapi, melihat penyataan oleh Panglima Tentera Laut, LMSB2 dan seterusnya akan dipasang siap dengan sistem persenjataan tambahan, yang sudah tentu selain daripada meriam utama.
Melihat keadaan sekarang, mungkin LMSB2 dilengkapi dengan sistem persenjataan anti permukaan memandangkan TLDM amat memerlukan kapal-kapal berkeupayaan kombatan bagi mempertahankan kedaulatan perairan negara.
Sejauh manakah perolehan LMSB2 berjalan?
Pencarian LMSB2 dilaporkan telah pun bermula tidak lama selepas kapal kelas Keris yang pertama telah diterima oleh TLDM.
Pelbagai tawaran telah dikemukakan oleh syarikat pengeluar antarabangsa untuk mengisi keperluan LMSB2. Sehingga artikel ini ditulis, masih belum terdapat sebarang spesifikasi khusus digariskan oleh TLDM untuk kapal-kapal baharu tersebut kecuali bilangan LMSB2 yang diperlukan.
“Buat permulaan, kita pohon 3 dan kemudiannya dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan kerajaan,” kata Panglima Tentera Laut.
Apa yang pasti, perolehan LMSB2 telah pun didaftarkan kepada Kerajaan Malaysia tetapi masih belum ada kata putus sehingga kini.
Sementara menanti keputusan kerajaan, mungkin Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang akan berlangsung di Langkawi pada penghujung Mei kelak menjadi medan pencarian LMS oleh TLDM.
Pada masa yang sama, pempamer segmen maritim akan menggunakan peluang ini menawarkan kapal-kapal untuk program LMSB2 kepada TLDM.
Sekiranya kerajaan memutuskan untuk memperolehi LMSB2 sebelum LIMA’23 berlangsung, mungkin persaingan untuk membida program ini akan menjadi lebih hebat. – airtimes.my