APMM hantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di Mersing
MERSING, 31 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Mersing telah melaksanakan misi penghantaran bantuan kepada mangsa yang terputus bekalan makanan akibat cuaca buruk ke Pulau Tinggi, semalam.
Pengarah APMM Zon Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, bot PERKASA 44 telah digerakkan menghantar 56 bungkus bekalan makanan kepada mangsa di kawasan tersebut.
“Keadaan cuaca hujan lebat dan laut bergelora tidak menghalang anggota APMM dalam keadaan yang sentiasa siap siaga sertai misi menghulurkan bantuan demi kelangsungan hidup komuniti maritime tempatan,
“Seramai lebih kurang 16 pegawai dan anggota terlibat bersama daripada pelbagai agensi termasuk dari Pejabat Daerah Mersing, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mersing,” ujarnya lagi
Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Mersing, Mohd Amirza Misnadi, Penolong Pegawai Daerah Mersing, Muhammad Zulfaiz Manhad, wakil-wakil agensi dan penghulu mukim.
“Pihak APMM turut berterima kasih kepada Balai Polis Daerah Mersing, Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, dan JPAM Mersing, yang turut serta membantu menjayakan misi bantuan penghantaran bekalan makanan ini,” jelasnya lagi.
Mersing merupakan salah satu daerah termasuk Kota Tinggi, Kluang, Segamat dan Batu Pahat yang terjejas banjir ekoran hujan berterusan pada 23 Januari lalu.
Sehingga semalam, Mersing mencatatkan jumlah mangsa kedua paling ramai apabila 830 mangsa daripada 243 keluarga berada di 6 PPS, diikuti Kota Tinggi (459 mangsa, 120 keluarga, 9 PPS), Kluang (350 mangsa, 97 keluarga, 2 PPS) dan Segamat (92 mangsa, 28 keluarga, 4 PPS). -airtimes.my