KUALA LUMPUR, 29 Jan – Tindakan UMNO yang menggantung dan memecat beberapa ahli partinya pada Jumaat lalu adalah sah disisi Perlembagaan UMNO.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, keputusan yang dibuat Lembaga Disiplin UMNO itu tidak melibatkan campur tangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
“Proses-proses lain yang melibatkan Lembaga Disiplin dan sebagainya itu sebenarnya hanyalah pengurusan dalaman yang dipraktikkan,
“Oleh itu apabila Majlis Kerja Tertinggi telah memperakukan pemecatan dan penggantungan ahli UMNO, maka pemecatan dan penggantungan itu adalah sah di sisi Perlembagaan UMNO dan undang-undang serta peraturan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Ahad.
Beliau turut mengulas dakwaaan beberapa pemimpin UMNO termasuk mereka yang digantung dan dipecat bahawa tindakan itu tidak melalui proses wajar seperti bela diri sebelum berdepan tindakan.
Isham berkata, semua yang dipecat atau digantung termasuk bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, masih boleh merayu atau berjumpa Lembaga Disiplin untuk membela diri.
“Dia (Noh) boleh berjumpa dengan Lembaga Disiplin seperti tarikh asal jemputan iaitu 30 Januari 2023 atau esok,
“Lembaga Disiplin UMNO bukan Mahkamah Persekutuan dan hukuman ke atas Noh dan Khairy Jamaluddin ini bukannya hukuman penjara atau hukuman mati,
“Mereka masih boleh membela diri dan merayu beberapa kali. Jika Noh dan Khairy serta lain-lain boleh mengalahkan bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah, saya percaya Lembaga Disiplin akan membuat keputusan seadilnya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau yakin Lembaga Disiplin sudah membuat penelitian terhadap laporan dan bukti yang ada sebelum membuat keputusan serta mengambil tindakan ke atas 40 ahli UMNO yang lain.
“MKT tidak campur tangan dalam proses siasatan dan keputusan Lembaga Disiplin. MKT biasanya memperakui saranan dan keputusan Lembaga Disiplin berkenaan kes disiplin membabitkan ahli parti,” katanya.
Menurutnya, Khairy dipecat atas tindakannya mendakwa ‘UMNO sesat’ ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Sungai Buloh, yang memberi kesan langsung terhadap sokongan pengundi di seluruh negara kepada UMNO.
“Dia (Khairy) tahu dia mungkin boleh menang di (Parlimen) Sungai Buloh dengan strategi ini tetapi ia sedikit sebanyak mengorbankan calon UMNO yang bertanding di tempat lain,” ujarnya lagi.
Tambahnya, seramai 25 ahli yang dilucut keahlian disebabkan mereka bertanding sebagai calon atau menjadi penyokong calon lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) atau Bebas ketika PRU-15.
“Saya dimaklumkan Lembaga Disiplin sudah memeriksa dan merujuk perkara ini dengan maklumat daripada SPR, termasuk seorang pegawai Noh yang bertanding sebagai calon Bebas di Tanjung Karang menentang calon UMNO,
“Seramai 15 ahli didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin dengan bukti kukuh yang menunjukkan mereka menyokong parti lawan terutama PN ketika kempen PRU-15,
‘”Saya dimaklumkan ada banyak laporan, video dan gambar menunjukkan antaranya mereka berkempen dan memakai baju PN untuk calon lawan menentang calon UMNO,” jelasnya.
Dalam kenyataan yang sama, Isham turut menasihatkan mereka yang digantung agar tidak mencabar Lembaga Disiplin atau MKT untuk berdepan pemecatan seperti dilakukan sebelum ini, memandangkan tindakan berkenaan akan memburukkan keadaan selain menunjukkan keangkuhan sendiri. -airtimes.my