Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot nelayan tempatan gaji PATI Myanmar

APMM tahan bot nelayan tempatan gaji PATI Myanmar

by Muaz Rizqi

GEORGETOWN, 27 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana menggajikan kru warga asing di sekitar Pulau Kendi semalam.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh anggota APMM ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam rondaan Op Pertiwi dan Op Tanjung baru-baru ini.

“Bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 21 batu nautika barat daya Pulau Kendi,

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot dikendalikan oleh seorang tekong dan 5 kru berusia lingkungan berumur antara 24 hingga 33 tahun dan kesemuanya warga Myanmar,

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, 2 daripada kru tidak mempunyai sebarang surat pengenalan diri yang sah dan pemilik bot telah melakukan kesalahan menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah”, ujarnya lagi.

Menurut Abd Razak, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 50 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

Dalam masa yang sama beliau menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!