Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat atur gerak anggota, aset bantu mangsa banjir di Johor

Tentera Darat atur gerak anggota, aset bantu mangsa banjir di Johor

by Muaz Rizqi

JOHOR, 25 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengaturgerakkan anggota dan asetnya bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan yang ditelengami air sejak semalam.

Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, anggota dari pasukan Rejimen Keempat Artileri Diraja (4 RAD) diaturgerak bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir di sekitar daerah Segamat.

“Pasukan 4 RAD membantu menghantar barangan keperluan makanan dan barangan keperluan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Segamat kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dibuka,

“Antara PPS yang dibuka ialah Dewan Serbaguna Sungai Air Panas, Dewan Kampung (Kg) Sungai Gatom, Labis, Dewan Serbaguna Kg Paya Merah, Dewan Serbaguna Koa, Balai Raya Kg Seberang Batu Badak, PPS SK Kg Tenang Labis, PPS SJKC AI CHUN dan PPS Balai Raya Kg Usaha Jaya Labis,” jelas 7 Bgd, hari ini.

Sementara itu, anggota Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) pula telah dipertanggungjawabkan untuk membantu dalam atur gerak OP MURNI di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Kota Tinggi yang berisiko tinggi terjejas disebabkan oleh banjir.

“Seramai 40 mangsa banjir melibatkan 6 buah keluarga telah dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Baru Sg. Mas.” ujar pihak 7 Bgd lagi.

Tambah 7 Bgd, pasukannya sentiasa siap siaga untuk diatur gerakkan dalam melaksanakan Op Murni bagi membantu menghadapi bencana banjir yang melanda di negara ini.

Hujan berterusan sejak Isnin menyebabkan beberapa kawasan di Johor terutamanya Bandar Penawar dan Taman Desaru Utama, Kota Tinggi telah dinaiki air.

Keadaan banjir di Johor semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 3,967 orang setakat 12 tengah hari ini, berbanding 3,612 pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan berkata 6 PPS baharu dibuka menjadikan keseluruhan 41 PPS di 5 daerah terjejas banjir setakat ini.

“Segamat masih menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 1,417 orang daripada 399 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS.

“Diikuti Kluang melibatkan 1,191 orang daripada 341 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS,” menurut JPBN. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply