Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 4 kru Myanmar kendali bot nelayan tempatan

APMM tahan 4 kru Myanmar kendali bot nelayan tempatan

by Muaz Rizqi

KUALA KRAI, 15 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kurau telah menahan 2 bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda bersama 4 kru nelayan warga Myanmar di kedudukan 2 dan 2.1 batu nautika barat daya Pulau Pasir Hitam, Perak pada Sabtu.

Pengarah Zon APMM Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, anggotanya telah mengesan dan menahan bot terbabit di 2 lokasi yang berasingan antara jam 11.10 hingga 11.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan itu mendapati, terdapat 4 kru nelayan warga Myanmar termasuk tekong berusia antara 30 hingga 44 tahun di atas bot tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot itu memiliki lesen yang sah namun bot terbabit tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.” Katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Mohd Najhan, kesemua kru, bot, hasil udang campur sebanyak 50 kilogram dan peralatan menangkap ikan ditahan sebelum dibawa ke Jeti APMM Zon Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran menggajikan warga asing.

“APMM menasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama,

“Sebarang aduan, salah laku dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.” Jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!