Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PRN: PEJUANG bincang bentuk kerjasama politik dengan PH, PN

PRN: PEJUANG bincang bentuk kerjasama politik dengan PH, PN

by Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Pembentukan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) adalah antara perkara yang akan dibincangkan di dalam Perhimpunan Agung Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pada Sabtu.

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata demikian ketika menyenaraikan 5 pilihan kepada parti itu sebagai salah satu isu penting mengenai penglibatan PEJUANG dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di 6 buah negeri.

“Opsyen lain adalah untuk bertanding secara solo dan PEJUANG berpeluang untuk menang sekiranya memfokuskan bertanding hanya beberapa kerusi di negeri-negeri tertentu,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada perhimpunan agung parti itu di sini.

Beliau berkata selain itu, PEJUANG boleh terus bertanding sebagai parti komponen dalam Gerakan Tanah Air (GTA) atau berundur seketika dari bertanding dalam PRN.

Katanya, pengunduran seketika memberi masa kepada usaha memperkuatkan parti dan meletakkan sasaran untuk bertanding di Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya pada empat atau lima tahun lagi.

“Ini juga satu cadangan atas niat untuk melindungi parti dari mengalami kekalahan sebanyak tiga kali berturut-turut dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Sebelum ini, PEJUANG bertanding 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor dan 125 kerusi Parlimen dalam PRU15 lepas, namun kalah kesemuanya. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!