PELABUHAN KLANG, 11 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) aturgerak aset dan anggota bagi meneruskan operasi mencari serta menyelamat (CARILAMAT) kru Kapal FV Shuenn Man No.23 yang terjatuh di laut di sekitar perairan Pulau Ketam semalam.
Pengarah APMM Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, kapal yang berasal dari Taiwan berkenaan dalam perjalanan menuju Pelabuhan Mauritius, Afrika.
Beliau berkata, operasi CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru disambung pada hari kedua, dengan mengatur gerak bot PERKASA 36 dan dibantu oleh KD Teguh Samudera TLDM.
“Mangsa Syaefullah, 27, warga Indonesia dikatakan telah jatuh laut pada 10 Januari 2023 pada jam sekitar 10.57 pagi dan dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan,
“Mangsa dilihat kali terakhir memakai baju bewarna hijau gelap sebelum dilaporkan hilang di laut,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.
Siva Kumar menjelaskan, operasi CARILAMAT hari ini merangkumi keluasan 46.98 batu nautika persegi.
Terdahulu, operasi CARILAMAT telah diaktifkan pada 10 Januari pada jam 4.00 petang semalam dengan mengatur gerak bot PERKASA 36.
Dalam pada itu, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Jeti APMM Negeri Selangor.
“Cuaca di lokasi hujan renyai dengan kelajuan angin sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam,
“Orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut,
“Sebarang aduan dan pelanggaran undang-undang serta situasi kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” jelasnya lagi. -airtimes.my