KUALA LUMPUR, 9 Jan – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan ihsan membawa pesakit dari Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan Udara Subang bagi mendapatkan rawatan rehabilitasi di Hospital Pekan, Pahang, Jumaat lalu.
TUDM menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut C130-H dari No 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.
Menurut TUDM, pesakit berkenaan iaitu Sabri Othman, berusia 54 tahun mengalami penyakit angin ahmar dengan pendarahan dan beliau telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu serta menjalani pembedahan pada bahagian otak bagi menyelamatkan nyawa beliau.
Namun, beliau dikesan mengalami jangkitan dan memerlukan bilik isolasi yang kemudahannya terdapat di Hospital Pekan, Pahang.
“Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Annur Azri Iman Mohd Yusoff TUDM dan Mejar Amirul Farhan Jaafar TUDM serta dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Ahmad Aslam Hadi Hassan TUDM,
“Pesawat C130-H tersebut berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 3.15 petang dan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 6.00 petang seterusnya dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera,
“Turut sama dalam penerbangan ini adalah anak kepada pesakit berkenaan, Azrul Aziz Sabri serta seorang pegawai perubatan, Dr. Vithiyah A/P Sekaran,” jelas hantaran itu. -airtimes.my