Home Pertahanan dan Keselamatan Polis Kelantan gempur penempatan etnik Rohingya, 204 orang diperiksa

Polis Kelantan gempur penempatan etnik Rohingya, 204 orang diperiksa

by Nurulhuda

KOTA BHARU, 6 Jan – Polis Kelantan telah menahan seramai 204 orang etnik Rohingya dalam Operasi Bersepadu Khas yang dijalankan di beberapa kawasan jajahan Kota Bharu, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, operasi terbabit dijalankan di 15 lokasi tumpuan penempatan Rohingya dan hasil tangkapan mendapati majoriti yang ditahan adalah dari kawasan Ketereh, Kok Lanas serta Melor.

Katanya, tahanan yang memiliki dokumen Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang disahkan dibebaskan sebaik sahaja selesai proses dokumentasi.

“Kesemua mereka ini dibebaskan sebaik sahaja selesai proses dokumentasi,

“Bagaimanapun 9 orang etnik berkenaan masih ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta status dokumen meragukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhamad Zaki menjelaskan, operasi terbabit dilaksanakan berikutan peningkatan rungutan masyarakat yang tidak berpuashati dengan kehadiran etnik Rohingya yang semakin ramai sehingga mereka membentuk komuniti di kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Antara rungutan masyarakat adalah berkaitan tingkah laku sebahagian etnik ini yang tidak menghormati penduduk serta tidak sensitif dengan budaya setempat,

“Masyarakat juga bimbang terhadap tahap keselamatan penempatan mereka berikutan berlaku kes melibatkan etnik berkenaan seperti kes kesalahan trafik, jenayah kekerasan termasuklah pergaduhan, rogol dan lain – lain kes,” ujarnya lagi.

Menurutnya, operasi-operasi sebegini dibuat bukan sahaja kepada etnik Rohingya, malah dijalankan di lain-lain penempatan yang menimbulkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

“Tindakan berterusan akan sentiasa dilaksanakan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!