BUKIT KAYU HITAM, 4 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menggagalkan cubaan 3 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar memasuki negara ini melalui laluan haram di sempadan negara Malaysia-Thailand, pagi tadi.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam kenyataannya memaklumkan, anggota pasukan yang melaksanakan rondaan telah mengesan 3 individu dalam keadaan mencurigakan di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) pada jam 7.20 pagi.
“Pasukan beroperasi seterusnya bertindak menahan orang awam tersebut untuk siasatan lanjut,
“Hasil pemeriksaan mendapati 3 orang awam tersebut merupakan PATI lelaki warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara melalui laluan haram serta berumur 20 hingga 42 tahun,” jelas kenyataan itu.
Menurut Markas 2 Div, turut dirampas 2 buah telefon bimbit, 3 kad vaksin COVID-19, 3 kad pengenalan Myanmar dan wang tunai dalam matawang Malaysia, Myanmar serta Thailand dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM607.63.
Seterusnya, PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.
Tambah Markas 2 Div, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan PATI. -airtimes.my