Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Pelantikan Farhash satu perkara yang jijik, dipandang serong – Ahli Parlimen Ketereh

Pelantikan Farhash satu perkara yang jijik, dipandang serong – Ahli Parlimen Ketereh

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Pelantikan Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd adalah bertentangan dengan tata kelola yang baik dan memburukkan lagi pertalian perniagaan serta politik di Malaysia.

Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Khlir Mohd Nor berkata, pelantikan bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah satu tindakan yang jijik dan dipandang serong serta bertentangan dengan janji-janji yang pernah dilaungkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Mana pergi janji-janji yang dilaungkan oleh PH untuk tatakelola yang baik dan integriti dalam mentadbir negara?

“Perlantikan Farhash adalah bukti bahawa agenda ‘reformasi’ yang dilaung-laungkan oleh PH dan Anwar sekian lama adalah bohong dan merupakan taktik politik untuk memperdaya pengundi,” kata Ahli Parlimen PAS itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menuntut agar Anwar memberi penjelasan berhubung isu pelantikan itu.

“Kami menyeru Anwar Ibrahim untuk tidak terus membisu dalam isu jawatan-jawatan baru Farhash ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ia adalah konsisten kepada konsep reformasi dan tata kelola yang baik,

“Majlis Pimpinan Tertinggi PH, yang selama ini telah mencanangkan nilai-nilai ini untuk bertahun-tahun semasa menjadi pembangkang, juga wajib menjelaskan pendirian mereka atas jawatan-jawatan Farhash ini,” jelasnya lagi.

Semalam, 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd mengumumkan Farhash Wafa Salvador sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa pada Selasa bagi mengantikan Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi untuk meneruskan minat lain.

Tan, anak kepada pemegang saham utama 7-Eleven, taikun Vincent Tan Chee Yioun dengan 41.8 peratus kepentingan, dilantik ke lembaga pengarah kumpulan itu sebagai pengerusi, pengarah bukan eksekutif bukan bebas pada 25 November 2021.

Dalam masa yang sama, Khlir turut mempersoalkan sama ada Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan akan memaklumkan kepada rakyat Malaysia jika terdapat lagi pelantikan jawatan besar yang melibatkan individu yang rapat dengannya selepas ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!