Home Semasa Isu Menara KL: Pemimpin UMNO antara 3 individu akan disaman – Annuar Musa

Isu Menara KL: Pemimpin UMNO antara 3 individu akan disaman – Annuar Musa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Bekas menteri komunikasi dan multimedia, Tan Seri Annuar Musa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap 3 individu atas dakwaan memfitnahnya berhubung pengambilalihan anak syarikat Telekom Malaysia Bhd (TM) yang menguruskan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Bekas pemimpin UMNO itu berkata, kenyataan individu terbabit telah menjejaskan imej, reputasi dan memberi kesan mendalam kepada beberapa pihak, termasuk dirinya.

“Setelah merujuk perkara tersebut serta meneliti secara mendalam bersama peguam, saya tiada pilihan melainkan mengarahkan peguam mengambil tindakan menurut jalur undang-undang terhadap 3 individu, iaitu Adrian Lim Chee En, K Pragalath Kumar dan (Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO) Razlan Rafii,

“Ada juga membuat hantaran tanpa identiti sebenar dan pihak saya akan cuba mengenal pasti mereka,

“Saya serahkan kepada pasukan peguam untuk memulakan tindakan sesuai dan bertepatan dengan undang-undang sedia ada,” katanya menerusi satu hantaran di media sosialnya pada Selasa.

Jelasnya, beliau tiada pilihan lain susulan pelbagai kenyataan mengelirukan sejak tercetus polemik berhubung Menara Kuala Lumpur yang kononnya dijual senyap-senyap oleh TM.

“Setiap perkara berbangkit, terutama yang membabitkan kepentingan rakyat dan negara perlulah disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib,

“Semua pihak perlu memberikan kerjasama serta tidak mengganggu penyiasatan dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu,” jelasnya lagi.

Pada 30 Disember lalu, Pengurusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) iaitu Hydroshoppe Sdn Bhd menegaskan, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah.

Hydroshoppe menegaskan semua urus niaga berkaitan MKLSB dilakukan mengikut undang-undang serta dengan usaha wajar (due diligence). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!