KUALA LUMPUR, 2 Jan – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyiasat insiden jurulatih menampar pelajar perempuan dalam insiden di satu kejohanan bola tampar di Johor.
Pada masa sama, KPM berkata, pihaknya akan turut mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar yang terlibat.
“KPM memandang serius isu yang dilaporkan oleh pihak media dan satu sesi pertemuan dengan ibu bapa murid terlibat akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan tersebut,
“KPM juga akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib dan sekiranya didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil,
“KPM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden berkenaan,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular video memaparkan tindakan seorang jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan.
Insiden itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang diadakan pada 14 hingga 16 Dis lepas.
Persatuan Bota Tampar Malaysia (MAVA) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, pihaknya juga telah menubuhkan badan siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan serta-merta serta akan berhubung dengan pihak berkaitan bagi tujuan berkenaan.
“MAVA sama sekali tidak akan bertoleransi dengan sebarang penggunaan kekerasan ke atas mana-mana pihak dan bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan MAVA,” jelas kenyataan itu.
Jelas MAVA, pihaknya juga turut menggantung pembabitan jurulatih berkenaan dalam sebarang aktiviti bola tampat sehingga siasatan selesai.
Sementara itu,Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat tindakan jurulatih itu.
“Tekad mewujudkan sekolah selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya. -airtimes.my