Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Johor gagalkan cubaan seludup 40 kotak rokok kretek

APMM Johor gagalkan cubaan seludup 40 kotak rokok kretek

by Muaz Rizqi

JOHOR BAHRU, 30 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor telah menggagalkan aktiviti penyeludupan rokok kretek dari negara jiran dalam OP JAKSA dan OP KHAS SAPU AIR 2022 di perairan Pontian awal pagi semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam berkata, rampasan itu dilakukan oleh anggota APMM yang mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran serta kelibat beberapa individu dalam keadaan mencurigakan di pesisir pantai Teluk Kerang, Pontian.

“Menyedari kehadiran APMM, kesemua individu dipercayai 4 orang penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan bot fiber di pantai tersebut,

“Hasil pemeriksaan awal menemukan, 5 kotak dipercayai mengandungi rokok kretek berada di atas bot fiber berwarna biru dan 6 kotak lagi berada di tepi pantai Teluk Kerang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Manakala Nurul Hizam menjelaskan 29 kotak lagi ditemukan dalam sebuah van putih model Toyota yang ditinggalkan dipercayai mengandungi rokok kretek hasil pemeriksaan lanjut di sekitar pantai lokasi operasi.

Tambahnya, kesemua rokok kretek disyaki diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual secara haram dalam negara ini.

“Bot fiber berserta sebuah enjin jenama Yamaha 40 kuasa kuda, van dan 40 buah kotak rokok disita sebelum dibawa ke Jeti APMM Sungai Pulai untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967. Nilai rokok kretek yang dirampas berjumlah RM456 ribu. Hasil keseluruhan nilai rampasan termasuk bot fiber berserta enjin dan van dianggarkan bernilai lebih kurang RM500 ribu,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan perairan di Negeri Johor bebas daripada sebarang ancaman jenayah rentas sempadan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!