KUALA LUMPUR, 29 Dis – Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2023 untuk pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan akan dibayar pada 17 Januari depan.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, bayaran Bantuan Khas RM700 akan dibayar kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Gred 56 dan ke bawah.
Manakala, Bantuan Khas RM350 akan dibayar kepada pesara kerajaan yang sedang menerima pencen dan penerima pencen terbitan.
Selain itu, Bantuan Khas RM350 juga akan diberikan kepada pesara perkhidmatan awam Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta veteran berpencen dan tidak berpencen.
Dalam hantaran yang sama, JPA turut memuat naik surat edaran yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah, Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Zulkapli Mohamed yang bertarikh 27 Dis 2022.
Menurut surat pekeliling tersebut, BKK tersebut layak diberikan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang masih berkhidmat pada 17 Jan 2023 meliputi pegawai lantikan tetap, sementara dan Kontrak Perkhidmatan (COS); pegawai yang bercuti bergaji penuh; pegawai yang bercuti separuh gaji dan pegawai yang bercuti tanpa gaji.
Ia juga layak dibayar kepada pegawai lantikan Malaysia Short-Term Employmen Programme (MySTEP) yang berkhidmat sekurang-kurangnya 6 bulan pada 2022 dan masih berkhidmat sebagai MySTEP pada 17 Jan 2023.
Sementara itu, bagi pesara kerajaan dan veteran yang dilantik semula secara lantikan tetap dan masih berkhidmat pada 17 Januari 2023, layak dibayar sebanyak RM700. Walau bagaimanapun, pembayaran sebanyak R350 akan dibuat oleh JPA/ Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan bakinya akan dibayar oleh jabatan di mana pegawai itu sedang berkhidmat. -airtimes.my