Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Usia bukan penghalang, bekas jurulatih PULADA rangkul keseluruhan terbaik

Usia bukan penghalang, bekas jurulatih PULADA rangkul keseluruhan terbaik

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=gKi4kw82jBQ[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Umur bukan penghalang untuk mengejar cita-cita demi menjadi seorang warga Gerup Gerak Khas (GGK).

Sarjan Mohd Nizam Mohd Zuki berkata, had kelayakan permohonan untuk mengikuti Kursus Asas Komando adalah 27 tahun. Namun, kerana impian ingin menjadi seorang anggota komando, beliau mengetepikan segala pandangan negatif demi bergelar komando dengan jayanya.

“Ramai yang mengatakan umur sudah meningkat, namun saya masih gigih untuk menghadiri kursus asas komando ini walaupun tahu kursus tersebut teruk dan penat,

“Bagi saya itu tidak penting, saya juga mampu menjalani latihan terutamanya berlari bersama mereka yang berada di dalam lingkungan 19 hingga 23 tahun,

“Walaupun permulaannya saya jauh ditinggalkan di belakang namun, hasil latihan yang saya jalani saya mampu mengatasi dan berjaya buktikan sehingga lulus di peringkat ini,” katanya kepada AirTimes pada Jumaat lalu.

Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/3/2022 yang diadakan di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Sungai Udang.

Mohd Nizam berkata, walaupun terdapat segelintir rakan-rakannya mempertikaikan kebolehannya untuk menyertai kursus tersebut, namun beliau tetap cekal untuk mengikuti Kursus Asas Komando itu bagi membuktikan kelayakkan dirinya.

“Ada senior bagi nasihat dan menyatakan saya sudah berkhidmat lama, jadi takut saya tidak boleh terima,

“Tetapi, berbekalkan semangat, saya merasakan saya masih baru dalam askar dan masih ingin cuba menyertai komando,

“Kalau hendak diikutkan usia saya sudah melebihi setahun dan mengikut syarat Kursus Asas Komando iaitu 28 tahun bagi anggota,

“Saya cuba merayu kepada Ketua Cawangan Komando untuk memberi saya peluang supaya saya dapat merasakan apa itu yang dikatakan Asas Komando. Jadi, alhamdulillah hari ini saya telah membuktikan yang mana saya telah menamatkan Kursus Asas Komando ini,” tambahnya.

Faham kehendak jurulatih

Beliau yang sebelum ini bertugas sebagai Jurulatih di Pusat Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) berkata, faktor umur tidak pernah menjadi halangan dalam dirinya untuk menghadiri apa jua jenis kursus ketenteraan, malah yang penting ujarnya adalah semangat dan juga kerja sepasukan.

Sarjan Mohd Nizam Mohd Zuki berkata, faktor umur tidak pernah menjadi halangan dalam dirinya untuk menghadiri apa jua jenis kursus ketenteraan.

“Mungkin cara pemikiran saya dan meraka (yang berumur bawah dari saya) berbeza. Yang mana dalam masa yang sama saya juga dapat membantu mereka kerana saya sudah mempunyai pengalaman (berkursus) sebelum ini,

“Mereka masih muda, jauh lagi perjalanan, berbanding saya yang sudah 10 tahun berkhidmat dan pernah bertugas sebagai jurulatih,

“Jadi saya faham kehendak jurulatih dan perasaan rakan-rakan yang berkursus sama dengan saya. Dalam masa yang sama saya dapat bantu jurulatih dan rakan-rakan untuk melancarkan pentadbiran kursus,” ujarnya.

Kepuasan dalam tentera adalah komando

Anak jati Baling Kedah ini turut menjelaskan kekuatan mental dan fizikal sepanjang menjalani kursus harus seimbang dengan keadaan kerana disitu letaknya kekuatan diri.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru kepada ‘adik-adik junior’ Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk menyertai pasukan komando sekiranya ingin merasai pengalaman yang lain dalam TDM.

“Pesanan saya kepada warga TDM yang berminat menyertai kursus asas komando, sekiranya terdapat tawaran kursus asas komando yang dibuka terus datang melapor dan sangat dialu-alukan,

“Tanamkan niat dalam diri ‘Aku ingin menjadi seorang anggota komando’ kerana kepuasan di dalam tentera adalah komando,” tegasnya.

Pergi dan hanya pulang dengan Beret Hijau sahaja – Isteri

Sementara itu, isteri Mohd Nizam, Nor Ain Fazilah Marzuki, 33, menjelaskan, pada mulanya agak keberatan membenarkan suaminya untuk menyertai kursus ini, tetapi akur apabila beliau menyatakan komando adalah cita-citanya sejak memasuki tentera.

“Pada awalnya suami saya telah memaklumkan saya untuk menyertai kursus asas komando, namun saya telah memberitahu kepadanya agar bersabar serta memikirkan terlebih dahulu,

“Saya juga mengambil masa yang lama untuk merestui suami saya dalam menghadiri kursus tersebut kerana dia memaklumkan kursus tersebut mempunyai had umur dan akhirnya merestuinya,” ujarnya.

Nor Ain Fazilah Marzuki, 33,percaya dan yakin suaminya mampu mengharungi Kursus Asas Komando ini.

Walaupun berat hati untuk membenarkan, Nor Ain yakin suaminya mampu mengharungi kursus tersebut kerana jelasnya, Mohd Nizam adalah seorang yang suka terhadap cabaran dan tidak mudah putus asa.

“Saya juga memberikan kata-kata semangat kepada suami saya agar pergi dan jangan kembali sehingga selesai tamat kursus asas komando,

“Saya cuma ingin berjumpa dengan dia (suami) pada hari pemakaian beret sahaja dan sekiranya gagal jangan pergi semula kerana saya tahu dia adalah seorang yang suka terhadap cabaran serta tidak mudah untuk berputus-asa,” ujarnya lagi.

Pada Jumaat lalu, Mohd Nizam telah dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik bagi Kursus Asas Komando Siri AK3/2022.

Mohd Nizam adalah antara 208 penuntut yang menjalani Kursus Asas Komando Siri 2/22 bermula pada Oktober lalu. Namun, sehingga akhirnya hanya 77 orang penuntut sahaja berjaya menamatkan kursus tersebut dan dianugerahkan Beret Hijau serta menjadi ahli keluarga GGK.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply