Home Semasa Ka Siong cadang tawar penerbangan tambahan, harga rendah menjelang musim perayaan

Ka Siong cadang tawar penerbangan tambahan, harga rendah menjelang musim perayaan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mencadangkan kepada syarikat penerbangan tempatan agar melaksanakan dan menawarkan penerbangan tambahan pada waktu tengah malam dengan harga rendah, khususnya menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina serta Aidilfitri tidak lama lagi.

Ka Siong menerusi hantaran di media sosialnya hari ini berkata, penambahan kapasiti dan jumlah penerbangan ialah langkah berkesan untuk mengatasi kesesakan serta berupaya mengurangkan kadar tambang.

“Saya penuh yakin langkah ini dapat dilaksanakan, lebih-lebih lagi dengan adanya Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) baharu,

“Kompleks ini akan meningkatkan pergerakan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 kepada 108 pergerakan sejam dengan menggunakan 3 landasan serentak berbanding 84 pergerakan sejam dengan 2 landasan sebelum ini,

“Sudah pasti langkah ini dinanti-nantikan oleh rakyat khususnya pengguna pengangkutan udara yang ingin pulang ke kampung halaman meraikan hari gembira bersama keluarga dan insan tersayang,” katanya.

Beliau berkata, kadar tambang penerbangan pergi balik dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak ketika musim perayaan sering menjadi isu hangat yang dibincangkan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah bertemu dan berbincang dengan syarikat penerbangan tempatan beberapa bulan lepas untuk menambah penerbangan pada waktu tengah malam dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) disarankan melanjutkan pengoperasian, yang secara dasarnya telah dipersetujui.

“Kita berharap Malaysia Airlines (MAS), Air Asia, Batik Air dan sebuah syarikat penerbangan tempatan yang baharu MyAirline, yang mula beroperasi pada awal bulan ini, dapat merealisasikan cadangan ini dan menawarkan kadar tambang murah kepada para penumpang semasa musim perayaan,

“Saya yakin Kementerian Pengangkutan di bawah Kerajaan Perpaduan akan meneruskan usaha ini,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!