SUNGAI UDANG, 23 Dis – Seramai 77 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya membuktikan kecekalan apabila lulus Kursus Asas Komando, pada siri kali ini.
Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/3/2022 telah disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Sungai Udang.
Turut hadir Pengarah Gerak Khas, Pegawai-pegawai Kanan GGK, dan keluarga penuntut kursus.
Dianggarkan seramai lebih 300 pengunjung termasuk ahli keluarga penuntut hadir untuk menyaksikan upacara penuh bersejarah itu, hari ini.
Kesemua mereka telah dianugerahkan Beret Hijau, Dagger Komando dan sijil bagi melayakkan mereka memakai Beret Hijau Gerak Khas.
Beliau dalam ucapannya menjelaskan, kejayaan penuntut kursus hari ini bukan sahaja menjadi kebanggaan TDM, malah ianya juga menjadi kebangaan keluarga para peserta.
Jelasnya, pengambilan anggota untuk kursus ini hanya ditawarkan kepada mereka yang hadir secara sukarela serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi sepanjang kursus yang telah dilalui.
“Sepanjang kursus, peserta telah menunjukkan kemampuan serta semangat waja yang diperlukan oleh pasukan Gerak Khas. Diatas prestasi ini, kesemua penuntut dianugerahkan Beret Hijau yang menjadi lambang keangungan Gerak Khas,
“Ini bermakna kesemua penuntut telah diterima sebagai warga Gerak Khas,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/3/2022, pada Jumaat.
Dalam masa yang sama, Nubli turut menegaskan bahawa beret hijau yang diperolehi ini harus sentiasa diperlihara kerana ianya merupakan maruah dan kebanggaan Gerak Khas.
“Justeru, penuntut-penuntut semua perlu buktikan bahawa benar-benar layak memakainya dengan erti kata sebenar,
“Amat malang sekali jika beret hijau yang dipakai itu terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhimatan,
“Oleh itu, saudara-saudari telah bertungkus lumus untuk mendapatkan beret hijau, jadi janganlah dicemerkan hanya dengan perbuatan yang remeh dan tidak waras,” jelasnya lagi.
Terdahulu, acara dimulakan dengan demonstrasi serbuan pantai dan menyelamatkan tebusan diikuti Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas dan penyerahan bendera kursus.
Demonstrasi ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan 11 RGK dan 21 GGK sebagai tunjang kedaulatan negara dalam menghadapi ancaman semasa selain perisai pertahanan negara.
Difahamkan seramai 2 pegawai dan 208 anggota menyertai kursus komando ini di peringkat awal namun sehingga akhirnya, hanya 77 anggota sahaja yang berjaya lulus.
Penuntut Keseluruhan Terbaik Kursus Asas Komando Siri AK/3/2022 diberikan kepada Sarjan Mohd Nizam Mohd Zuki yang merupakan seorang bekas Jurulatih di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA).
Peserta kursus perlu menempuhi latihan-latihan yang menguji tahap kemahiran ilmu medan perang, kekuatan mental dan fizikal menerusi latihan seperti latihan peringkat kem, peringkat hutan, Long March 160 kilometer (km), peringkat paya dan peringkat laut. -airtimes.my
Galeri gambar: