Home Pertahanan dan Keselamatan Tanah runtuh: 2 jengkaut ATM bantu operasi SAR

Tanah runtuh: 2 jengkaut ATM bantu operasi SAR

by Nurulhuda

BATANG KALI, 20 Disember – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali, Gohtong diteruskan.

Ini merupakan hari kelima operasi dijalankan bagi mengesan 9 lagi mangsa yang masih belum ditemui.

Misi SAR semalam menyaksikan penambahan jentera berat daripada pasukan 91 Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 RAJD) iaitu 2 buah kenderaan jenis C Excavator PC 210 LC ke lokasi kejadian bagi membantu operasi tersebut.

2 jentera berat itu tiba di lokasi kira-kira jam 2 petang Isnin.

Penambahan 2 aset berkenaan sekali gus menjadikan jumlah jengkaut yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat ini sebanyak 10 buah.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, 8 jengkaut ditugaskan di sektor A dan sektor C bagi kerja pengorekan serta alih tanah, namun proses pengorekan dijalankan secara berperingkat bagi mengelakkan jentera terkena mangsa.

Pasukan penyelamat turut mendapat bantuan alat ‘Ground Penetrating Radar’ daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membantu proses pengesanan mayat di dalam tanah.

Selain itu, sebanyak 11 ekor anjing pengesan diletakkan dalam keadaan siap siaga di lokasi kejadian, untuk membantu operasi dengan 6 daripadanya milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 4 (Polis Diraja Malaysia) dan seekor milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, anggota dari Briged Ke-11 Infantri Malaysia (11 Bgd) turut dikerah bagi melaksanakan Riverrine Sweeping Patrol untuk mencari mangsa yang mungkin hanyut di dalam Sg Kedondong sepanjang 5 kilometer (km).

Dalam tragedi Jumaat lalu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan 9 masih hilang. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply