KELANTAN, 19 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengaturgerakkan anggota dan aset bagi membantu menyelamatkan mangsa-mangsa banjir khususnya di kawasan yang terjejas di Kelantan serta Terengganu.
TDM menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, anggota daripada Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) telah diaturgerak bagi membantu memindahkan 10 orang mangsa banjir di Pasir Mas yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, semalam.
Sementara itu, Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) memaklumkan, anggota dari Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) dan 18 RAMD (Para) juga telah dikerah ke lokasi-lokasi yang terjejas banjir.
“Anggota 16 RAMD telah membantu menyelamat dan memindahkan 16 orang mangsa banjir (3 keluarga) dari Kampung Pengkal Kerdas ke PPS Tok Bok, Machang sejak malam Sabtu,
“Anggota dari 18 RAMD (Para) pula telah dikerah untuk membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Bukit Perkat, Marang ke PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai pada Ahad,
“Bantuan pemindahan dilaksanakan berikutan paras air di kediaman mereka yang semakin meningkat selepas hujan lebat di kawasan tersebut,” jelas hantaran itu.
5 jajahan di Kelantan dilanda banjir bermula awal pagi semalam selepas hujan beserta angin yang berterusan sejak Sabtu.
Beberapa kampung di Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Machang dan Kuala Krai telah mula dinaiki air.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 5,642 orang daripada 1,679 keluarga malam tadi berbanding 3,320 orang daripada 975 keluarga pada sebelah petang, semalam.
Menurutnya, sebanyak 58 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan 8 daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.
Sementara itu, di Terengganu, situasi banjir semakin serius apabila angka mangsa terjejas terus melonjak kepada 3,785 orang daripada 1,068 keluarga berbanding 1,866 orang daripada 512 keluarga petang Ahad.
JPBN memaklumkan sebanyak 76 PPS dibuka di 7 daerah iaitu satu PPS di Kuala Terengganu, Besut (26), Hulu Terengganu (25) Setiu (11), Dungun (6), Kemaman (6) dan Marang (1). -airtimes.my
Galeri gambar: