KUALA LUMPUR, 15 Dis – Bekas Setiausaha UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak akan merayu terhadap keputusan parti itu yang telah memecat keahliannya baru-baru ini.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sehingga kini beliau masih tidak tahu sebab utama pemecatan kerana tiada pertuduhan terhadapnya.
“Saya buat keputusan tidak merayu. Nak merayu kita kena tahu salah kita, jadi kita nilai betul kita salah atau tidak. Jadi kalau tak salah, kita merayulah atas dasar diri kita tak bersalah,
“Sehingga hari ini, saya tidak tahu, saya tiada pertuduhan. Tak dipanggil, tak pernah ditanya, tak diminta penjelasan lisan atau bertulis, panggil secara sahabat pun tiada sedangkan dalam itu kawan-kawan saya tapi mereka tidak bertanya apa-apa,
“Tahu-tahu surat sekeping, pecat. Jadi saya nak rayu macam mana,” kata Annuar dalam sidang media di pejabat Muafakat Nasional (MN) yang turut disiarkan di hantaran Facebook rasminya hari ini.
Terdahulu, Annuar mengesahkan beliau sudah menerima surat pemecatannya itu daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Isnin lalu.
Beliau juga menjelaskan telah menjawab surat itu, 2 hari lalu, yang ditujukan terus kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan tidak langsung berdendam dengan Ahmad Zahid selepas dipecat daripada parti yang disertainya lebih 43 tahun itu.
“Prinsip politik saya, bukan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim saja, saya tidak gaduh dengan siapa-siapa,
“Sehingga ke hari ini pun, macam dengan Datuk Seri Zahid, sampai sekarang saya berani menegaskan dia kekal kawan saya, saya masih menghormati, saya pun tidak marah, saya tiada dendam,
“Mungkin itu cara dia tadbir UMNO, okey lah sebab dia Presiden, namun nak gaduh peribadi itu tidak, buat apa nak gaduh peribadi? Apatah lagi saya kini Presiden MN yang nak promosikan ‘love and respect’ jadi saya akan promosikan ‘love and respect’,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan, UMNO mengesahkan Annuar ialah antara 3 pemimpin akar umbi parti itu yang dipecat keahlian dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Khamis lalu.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO melucutkan keahlian terhadap Annuar dan Datin Seri Fatimah Kassim (bekas Ketua Wanita UMNO Maran), dan Datin Seri Shamsiah Yassin (bekas Ketua Wanita UMNO Arau) mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO selepas mereka melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO serta perkara berkaitan tataetika ahli. -airtimes.my