Home Semasa Kerajaan timbang kaedah campur tangan di peringkat pengguna, atasi kekurangan bekalan

Kerajaan timbang kaedah campur tangan di peringkat pengguna, atasi kekurangan bekalan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan mempertimbangkan untuk meneliti kaedah campur tangan di peringkat pengguna bagi mengatasi isu kekurangan bekalan keperluan di pasaran.

Beliau berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), hari ini.

“Mesyuarat NACCOL telah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar dan beberapa ikhtiar telah disyorkan. Ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kabinet akan membuat keputusan esok,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, sebanyak 3 kertas dibentangkan dalam mesyuarat NACCOL yang mengupas isu, tantangan dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Ia turut melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Perladangan dan Komoditi,

“Laporan itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh berkaitan terutamanya pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna,” jelasnya lagi.

Anwar turut menjelaskan, kerajaan juga konsisten dalam membangun serta mendukung pembangunan industri yang mampan.

Jelasnya, sektor penternakan negara sudah lama mencapai tahap yang mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan berupaya untuk mengeksport.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, kerajaan berhasrat untuk memudahkan industri ternakan untuk mengeksport produk mereka serta memastikan sektor penternakan menghasilkan bekalan mencukupi untuk keperluan rakyat.

“Ini termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar terutamanya kepada pengusaha tempatan,

“Pada saat ini, isu bekalan menjadi tumpuan utama kerajaan kerana kekurangannya akan memberi dampak yang buruk,” katanya.

Sementara itu, Anwar menjelaskan, Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan mahakaya dan konglomerat ke arah menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang terkesan.

“Sebagai contoh, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna tetapi 10 peratus daripada angka itu yakni satu juta pengguna meliputi kumpulan konglomerat menikmati lebih daripada 50 peratus subsidi elektrik,” ujarnya lagi.

Anwar berkata, jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar.

Tambahnya, ia perlu mengambil kira kepentingan pengguna dan industri sekali gus memastikan kelancaran serta keberkesanan pelaksanaan kebijakan ini. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!