Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Perajurit Muda Tentera Darat harus rancang perbelanjaan, elak aktiviti tidak bermoral – Zamrose

Perajurit Muda Tentera Darat harus rancang perbelanjaan, elak aktiviti tidak bermoral – Zamrose

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 10 Dis – Perajurit Muda (PM) Tentera Darat Malaysia (TDM) dinasihatkan untuk merancang perbelanjaan secara bijak kerana kegagalan berbuat demikian menyebabkan kesempitan hidup sehingga akhirnya mendorong kepada aktiviti yang tidak bermoral.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, kegagalan anggota merancang kewangan dengan baik akan membawa kepada kesempitan hidup dan seterusnya mendorong kepada penglibatan diri dalam aktiviti tidak sihat yang akan menjejaskan perkhidmatan mereka.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak sekali-kali akan berkompromi dengan angggota yang melakukan kesalahan-kesalahan sepanjang perkhidmatan.

“Sebagai generasi yang lahir dalam zaman serba canggih dan moden, PM pasti terdedah kepada unsur-unsur negatif yang ada di persekitaran,

“Pengaruh negatif ini jika tidak dijauhi akan mendorong anggota untuk terlibat dalam masalah-masalah disiplin dan salah laku yang akhirnya akan menjejaskan kerjaya,

“Mereka yang melanggar peraturan akan menerima hukuman yang sewajarnya,” katanya ketika berucap di Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Siri 195/2022 di Padang Kawad PUSASDA, pada Sabtu.

Tegasnya, latihan yang dilalui oleh PM telah memberi penekanan kepada pembentukan keperibadian ketenteraan serta pembinaan kekuatan mental dan fizikal.

Sehubungan itu, beliau menegaskan agar PM tidak sekali-kali merosakan masa hadapan mereka dengan melakukan perkara yang sia-sia.

Terdahulu, seramai 2,417 Perajurit Muda Lelaki telah berjaya mengharungi latihan asas ketenteraan di PUSASDA bermula pada 10 Jun lepas sehingga hari ini.

Kesemua PM ini telah menjalani latihan asas ketenteraan yang meliputi aspek pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, pengendalian senjata, latihan jasmani dan kemahiran perang.

Selain itu, mereka turut diberikan pendedahan di dalam aspek pengukuhan kerohanian dan moral.

Dalam perbarisan hari ini, Panglima Tentera Darat turut menyampaikan Anugerah dan Piala Pusingan kepada PM sebagai pengiktirafan di atas pencapaian serta kecemerlangan sepanjang latihan ini.

PM Muhamad Fazdli Ilahi Yusoff dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah merangkul Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik bagi siri ini.

Sementara itu, PM Muhammad Taqiuddin Mohd Isah dinobatkan sebagai PM Ketenteraan Terbaik dan PM Muhammad Amar Ridzuan Sazali pula berjaya menyandang Anugerah PM Kawad Terbaik.

Manakala, bagi kategori PM Akademik Terbaik dan PM Kecergasaan Jasmani terbaik masing-masing disandang oleh PM Luqman Hakim Hasrul serta PM Binon Jubi yang berasal dari Kota Marudu, Sabah.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi. -airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!