Home PolitikBarisan Nasional Dipecat dari UMNO: Umpama tak sempat mati sudah ditanam – Annuar Musa

Dipecat dari UMNO: Umpama tak sempat mati sudah ditanam – Annuar Musa

by Nurulhuda

KOTA BHARU, 10 Dis – Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan pemecatan keahliannya umpama ‘menggali kubur’ sendiri dalam parti itu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu menjelaskan, sehingga kini, beliau masih tidak menerima surat rasmi berhubung pemecatan itu.

“Ingatkan sembelih sahaja apabila tak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kita hendak balut luka,

“Tahu-tahu semalam, mereka gali kubur, kambus terus. Tak ada panggil, tak ada tanya apa-apa. Paling kurang tahanlah, biar saya tahu dulu. Ini tidak, kambus mati terus,

“Rupanya begini dalam politik, umpama tidak sempat mati tetapi kena tanam. Saya masuk dengan baik dalam UMNO sejak 43 tahun lalu dan mahu keluar dengan elok juga,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Ketua-ketua Cawangan UMNO Parlimen Ketereh di Padang Kala Peringat, pada Sabtu.

Annuar turut menjelaskan, pemecatan beliau ibarat pecah rekod kerana dibuang tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

“Saya memecahkan rekod kerana dipecat tanpa dipanggil dan dimaklumkan terlebih dahulu termasuk menerusi Lembaga Tatatertib UMNO. Kira hakim terus jatuh hukum dahulu,

“Sebelum ini, saya dipecat sebagai Setiausaha Agung UMNO, saya senyum, kena buang Setiausaha UMNO dan tidak jadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) saya senyum dan jalan terus kerana saya ini orang perjuangan,

“Saya ucapkan terima kasih. Walaupun saya bukan lagi ahli UMNO, tetapi saya mahu ahli UMNO Ketereh terus kekal berjuang dalam parti,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah mengumumkan pemecatan 3 ketua bahagian selepas satu mesyuarat diadakan semalam. Walaupun tiada nama diberikan oleh pihak parti, nama Annuar dikatakan antara individu yang dipecat.

Teka-teki tersebut akhirnya terjawab apabila sebuah portal media tempatan memetik pengesahan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan Annuar adalah antara 3 individu dipecat dari parti.

Ahmad Maslan berkata, ia termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.

“2 lagi ahli UMNO yang dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!