SABAH, 10 Dis – Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah termasuk semua wakil rakyatnya, hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri yang ditunjangi Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.
“Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat Sabah untuk terus berjuang di bawah naugan sebuah parti tempatan,
“Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri Borneo di Malaysia,
“Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, berikutan tindakan itu, mereka akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu sebagai platform menggantikan BERSATU.
Bagaimanapun, katanya untuk sementara waktu ini, mereka secara kolektif akan menjadi ahli GRS.
“Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS,
“Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Anwar untuk memimpin negara,
“Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan juga adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan,
“Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, keputusan kepemimpinan BERSATU Sabah untuk meninggalkan BERSATU adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.
Tambahnya, ia kerana di peringkat Persekutuan BERSATU adalah pembangkang manakala GRS berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar.
“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.
“Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepemimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli BERSATU,” katanya. -airtimes.my