KUALA LUMPUR, 9 Dis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan akan dijalankan terhadap dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pentadbirannya sebagai Perdana Menteri.
SPRM dalam kenyataan hari ini menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.
Namun, berdasarkan jumlah tersebut, hanya RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas SPRM menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang telah dibelanjakan oleh kerajaan pada tahun 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan COVID-19 daripada Kementerian Kewangan.
“Justeru, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan,
“Pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM pada minggu hadapan,” jelas kenyataan itu.
Pada Khamis, SPRM memaklumkan, siasatan yang terperinci dan profesional akan dijalankan berhubung dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM600 bilion oleh kerajaan terdahulu.
Satu kertas siasatan juga telah dibuka bagi menyiasat dakwaan berkenaan dan meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.
Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan ketika berdepan pandemik COVID-19 itu pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lepas.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama pada 5 Disember mendakwa terdapat ‘pelanggaran’ dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.
Beliau kemudiannya, mengingatkan Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar kerajaan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan di bawah pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebelum ini. -airtimes.my