Home Pertahanan dan Keselamatan Pemandu van cabut lari, tinggalkan 11 PATI Myanmar elak dicekup

Pemandu van cabut lari, tinggalkan 11 PATI Myanmar elak dicekup

by Nurulhuda

KANGAR, 9 Dis – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis telah mematahkan cubaan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam Operasi (Op) Kutip yang dijalankan awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, seramai 11 PATI warga Myanmar terdiri 9 lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak berusia antara 10 hingga 49 tahun telah ditahan di Jalan Padang Besar-Changlun.

Pengarah Imigresen Perlis, Khairul Amin Talib memaklumkan, operasi tersebut dijalankan sepasukan 5 orang dari Bahagian Penguat Kuasa Imigresen, Kangar.

Jelasnya, semasa operasi dijalankan, pasukan penguatkuasa tersebut telah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis van berwarna putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik sahaja pasukan penguatkuasa JIM Perlis mendekati, van tersebut secara tiba-tiba terus memecut laju ke arah Changlun, Kedah,

“Pasukan penguatkuasa JIM Perlis terus mengejar van tersebut dan berlaku adegan kejar mengejar sejauh lebih kurang 10 kilometer sebelum van tersebut tersalah memasuki jalan mati,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

9 lelaki, seorang perempuan dan seorang kanak-kanak warganegara Myanmar didapati berada di dalam van tersebut.

Khairul Amin berkata, pemandu dan seorang penumpang hadapan bertindak melarikan diri dan meninggalkan van tersebut setelah tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Pasukan penguatkuasa JIM Perlis kemudiannya memeriksa van tersebut dan menemui kesemua 11 PATI terbabit yang gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini,” jelasnya lagi.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan kesemua mereka dibawa ke pejabat Imigresen Kangar, Perlis untuk siasatan lanjut. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!