Home PolitikBarisan Nasional Dipecat dari UMNO: Umpama ditarik keluar dari rumah pusaka terbakar – Annuar

Dipecat dari UMNO: Umpama ditarik keluar dari rumah pusaka terbakar – Annuar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Tan Sri Annuar Musa memberikan gambaran pemecatan beliau dari UMNO umpama ditarik keluar dari rumah pusaka yang terbakar.

“Ketika api masih marak, dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah. Tiba-tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar,” luah bekas Ahli Parlimen Ketereh itu dalam satu hantaran di akaun media sosial beliau, hari ini.

Desas-desus pemecatan beliau dari parti timbul selepas pihak Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah mengumumkan pemecatan 3 ketua bahagian selepas satu mesyuarat diadakan semalam. Walaupun tiada nama diberikan oleh pihak parti, nama Annuar dikatakan antara individu yang dipecat.

Teka-teki tersebut akhirnya terjawab apabila sebuah portal media tempatan memetik pengesahan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan Annuar adalah antara 3 individu dipecat dari parti.

Walaupun masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dari parti sehingga kini, Annuar menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook menjelaskan, beliau bermimpi bahawa ‘rumah pusaka’ yang diami terbakar.

“Malam Jumaat, saya bermimpi. Rumah Pusaka saya diami terbakar.Saya syak ada suis utama dah alami litar pintas atau wayarnya terputus,

“Ramai penghuni rumah sudah lari meninggalkan rumah yang terbakar, atau dibakar,Wallahuaklam. Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari,

“Ketika api masih marak, dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba-tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar,” jelasnya.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau sayangkan rumah tersebut, namun, kini hanya mampu berdoa supaya rumah terbakar itu dapat diselamatkan.

Semalam, terdapat khabar angin mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memecat Annuar dari UMNO.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mengesahkan pemecatan 3 individu dalam parti itu namun tiada nama yang didedahkan oleh beliau.

Menurut Mohd Puad, ketiga-tiga individu itu dipecat kerana mencemuh parti dan berkempen bagi pihak lawan malah ada antaranya yang mendedahkan hasil mesyuarat MKT kepada pihak lain yang tidak terlibat dengan UMNO.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!