Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tumpaskan cubaan seludup 8,000 liter minyak diesel di Kuala Perlis

APMM tumpaskan cubaan seludup 8,000 liter minyak diesel di Kuala Perlis

by Nurulhuda

KUALA PERLIS, 6 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup keluar 8,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM16,000 yang ingin diseludup ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain memaklumkan, seorang tekong dan 2 awak-awak kesemuanya warga tempatan yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 38 tahun turut ditahan.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil penahanan sebuah bot nelayan Kelas C dengan nombor pendaftaran KF 2420 sekitar jam 8.13 malam tadi di kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis.

“Tindakan dibuat susulan maklumat risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik, Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP),

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot mendapati, bot tersebut telah diubahsuai dengan menambah ruang tangki minyak di bawah rumah kemudi,” jelasnya.

Mohd Hashim berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin, dan minyak diesel sekitar RM216,000.

Jelasnya, bot, hasil tangkapan dan ketiga-tiga suspek dibawa ke jeti APMM Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

Dalam masa yang sama, Mohd Hashim turut mengingatkan orang ramai dan persatuan nelayan untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!