Home PolitikBarisan Nasional Kerajaan tak tubuh lagi, tapi PN dah ‘offer’ jadi menteri – Wan Rosdy

Kerajaan tak tubuh lagi, tapi PN dah ‘offer’ jadi menteri – Wan Rosdy

by Nurulhuda

ROMPIN, 1 Dis – Barisan Nasional (BN) memilih Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri kerana blok politik itu sedia bekerjasama tanpa meletakkan sebarang syarat supaya kerajaan negeri ditubuhkan segera demi kestabilan rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan BN untuk bekerjasama dengan PH dilakukan secara sebulat suara oleh rakan-rakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Perhubungan UMNO Pahang.

“Keputusan untuk bersama PH bukan keputusan saya seorang. Saya bawa dalam perbincangan dengan rakan-rakan ADUN, dalam Badan Perhubungan UMNO,

“Saya ceritakan apa yang berlaku dan kami ADUN dan BN Pahang sebulat suara bersetuju nak bersama dengan PH,” katanya dalam ceramah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Rompin, malam tadi.

Buat kali pertama di Pahang, BN dan PH berkongsi pentas pada ceramah pilihan raya apabila turut sama pada program itu ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Datuk Seri Amirudin Shari.

PH tidak letak syarat bentuk kerajaan negeri

Wan Rosdy berkata, sebelum kerajaan negeri dibentuk beliau telah dihubungi oleh Pengerusi PH Pahang yang menawarkan kerjasama tanpa syarat kepada BN Pahang untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut berkata, beliau juga kemudiannya dihubungi pimpinan PN di mana Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Idris Ahmad datang berjumpa dengannya bagi membincangkan pembentukan kerajaan.

“Dalam pertemuan itu, Timbalan Presiden PAS telah bercakap dulu dan ketika itu kerajaan (Persekutuan) belum ditubuhkan lagi,

“Ayat pertama dikeluarkan kepada saya mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju melantik saya sebagai senator dan diberi jawatan menteri penuh,

“Saya ni terkejut dalam hati, kerajaan tak tubuh lagi ni, macam mana boleh ‘offer’ kepada saya,” ujarnya.

PN mahu agih jawatan kerajaan negeri

Menurut Wan Rosdy, Tuan Ibrahim memaklumkan PN mahu jawatan Menteri Besar Pahang, jawatan speaker DUN dan jawatan Exco diagihkan seimbang antara BN dan PN.

“PN juga menuntut 3 daripada 5 kuota ahli dewan undangan negeri (ADUN) lantikan diberikan kepada mereka,

“Saya kira-kira dan lihat ini bukan hendak berbincang tetapi sudah ditetap dan ditentukan… kalau saya setuju dengan permintaan mereka,

“Di DUN Pahang ada 42 kerusi, kalau saya setuju dengan tawaran mereka akan ada 22 undi di DUN yang boleh menyebabkan saya tersingkir pada bila-bila masa,

“Jadi (jika ia berlaku) apa akan berlaku pada kerajaan negeri? Kita hendak tubuhkan kerajaan negeri kerana nak teruskan agenda kita untuk bekerja, teruskan kestabilan dan kemakmuran. Banyak agenda hendak dilakukan, bukan untuk politiking,” jelasnya lagi.

Wan Rosdy turut mendedahkan sikap segelintir pimpinan PN yang meminta pejabat jawatankuasa kemajuan dan kemakmuran kampung (JKKK) dan kunci balai raya diserahkan ketika proses rundingan sedang berjalan.

“Jadi kami membayangkan, kalau mereka (PN) menubuhkan kerajaan maknanya kestabilan dan kemakmuran serta keamanan itu adalah perkara kedua dan ketiga bagi mereka,

“Tapi bagi kita (BN), kestabilan, kemakmuran untuk rakyat adalah yang utama,” tegasnya.

PN tolak kerajaan perpaduan

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, pihaknya turut menawarkan satu kerusi kepada parti itu demi penubuhan kerajaan perpaduan tetapi ditolak.

“Kita dah boleh tubuhkan kerajaan ketika itu, tapi kerana kita berjiwa besar, kita tawarkan juga satu kerusi (jawatan) EXCO kepada mereka (PN Pahang) bagi tujuan perpaduan, tapi mereka yang tolak dan kemudian salahkan saya,

“Itu adalah cerita sebenar. Tuduhan kenapa BN menolak PN dan berkejasama dengan PH itulah jawapannya,” ujarnya lagi.

Beliau turut berharap penjelasan mengenai kronologi rundingan bagi membentuk kerajaan Pahang antara BN, PH dan PN itu dapat difahami rakyat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!