Home Semasa Tuduh Anwar ejen Israel: Bukit Aman buka kertas siasatan ke atas Hadi Awang

Tuduh Anwar ejen Israel: Bukit Aman buka kertas siasatan ke atas Hadi Awang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan laporan yang mendakwa beliau mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis berhubung dakwaan Presiden PAS tersebut.

“Siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata, kes turut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menghantar mesej dan gambar berunsur fitnah melalui akaun Facebooknya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.

Abdul Hadi turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Terdahulu tular satu hantaran di laman Facebook Perikatan For Malaysia yang mengatakan Anwar mendapat pertolongan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan menjadi ejen kepada Israel.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!