KUALA LUMPUR, 28 Nov – Demi kepentingan politik, parti DAP yang tidak beraqidah dan tidak bermoral mula menunjukkan belangnya secara terbuka serta rakus.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, hal tersebut terserlah apabila mereka melakukan fitnah terhadap Islam dengan membaling batu di tengah khalayak pada waktu siang hari yang terang, khususnya terhadap PAS.
Beliau berkata, PAS menjadi sasaran apabila melihat kemaraan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga berjaya mencapai jumlah kerusi tertinggi dalam kalangan semua parti secara berasingan termasuk DAP dan semua parti yang menjadi alat parti itu dalam Pakatan Harapan (PH).
“Mereka menjumlahkannya sekali untuk menampakkan mereka banyak, walaupun DAP menjadi kepala yang terlalu besar daripada jasadnya,
“Pandangan para orientalis dan media Barat yang paling bermusuh serta berbohong terhadap Islam yang disebarkan di negara Barat telah diimport ke Malaysia oleh DAP, sehingga dilaporkan maklumat yang salah terhadap PAS,
“Tindakan ini secara halus boleh mengelirukan mereka yang tidak mengkaji Islam daripada sumber asalnya dan sejarah pelaksanaannya yang diterima tanpa sebarang paksaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, DAP tidak mengambil iktibar walaupun beberapa ketika dahulu pernah berdialog bersama PAS secara langsung bagi menjelaskan banyak kekeliruan terhadap hukum Islam yang menjadi modal mereka.
Bagaimanapun, Abdul Hadi menjelaskan, jawapan yang diterima daripada parti itu adalah semata-mata kepentingan politik cauvinisme yang sempit dan masih menjadi pegangannya sekalipun ia turut mengancam kaum, bangsa dan agamanya sendiri yang berada di tengah-tengah masyarakat majmuk.
“PAS dilabelkan laksana Taliban yang berperang dengan Amerika di Afghanistan, walhal Amerika menceroboh negara itu dengan ganas dan bertindak melampau melalui media Barat terhadap Taliban yang dizalimi, namun keadaan yang sebenar ditutup oleh DAP,
“Hukum Islam hudud dan qisas terus menjadi modal mereka dengan penjelasan yang salah dan menyesatkan, semata-mata bagi memberikan suatu gambaran buruk terhadap Islam dan wajah PAS,” katanya.
Tegasnya, DAP sebenarnya yang melampau, walaupun mereka cuba menipu dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah Melayu Islam.
“Namun, ia sekali-kali tidak boleh menghalalkan ideologinya yang bercanggah dengan Islam, laksana tidak boleh menghalalkan daging babi walaupun tukang masaknya berwajah Islam, berkopiah dan berserban,
“Sikap DAP terhadap kaum bumiputera bukan Islam diminta maaf, pada masa yang sama menyebarkan Islamofobia kepada mereka. Oleh itu, pada saat begini menunjukkan wajah DAP yang tersembunyi sebelum ini laksana hanya bertaubat saat terdesak,” ujarnya. -airtimes.my