Home Semasa Anwar tolak guna Mercedes S600 sebagai kenderaan rasmi

Anwar tolak guna Mercedes S600 sebagai kenderaan rasmi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak menggunakan kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli oleh Jabatan Perdana Menteri sebelum beliau memasuki pejabat.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil kerana tidak mahukan sebarang perbelanjaan baharu dibuat untuk dirinya.

“Saya ingin memaklumkan bahawa semalam saya telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya memasuki pejabat,

“Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian,” katanya menerusi hantaran Facebooknya lewat malam tadi.

Sebelum ini, Anwar ketika sidang akhbar Majlis Solat Hajat, Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Ashabus Solihin, Kajang mengingatkan semua anggota Kabinet yang bakal dilantik dalam masa terdekat supaya tidak membazirkan wang kerajaan bagi perbelanjaan tidak perlu, terutama untuk kerja baik pulih pejabat masing-masing.

Tambahnya, anggota Kabinetnya juga diingatkan tidak menggunakan peruntukan kerajaan bagi kemudahan peribadi, sebaliknya ia perlu diutamakan bagi mengatasi lonjakan kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.

“Jadi ini sebagai mesej kepada semua pimpinan jabatan yang lain supaya ingat dalam keadaan sekarang kita patut mulakan budaya baru. Jangan gunakan wang kerajaan untuk kemudahan kita,” tegasnya. airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!