Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Terima kasih atas tawaran, PN main peranan sebagai pembangkang – Muhyiddin

Terima kasih atas tawaran, PN main peranan sebagai pembangkang – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Seri Muhyiddin Yassin menolak tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan baru yang diterajuinya, dan memilih untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa dalam Parlimen.

Beliau berkata, PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintergriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip Prihatin, Bersih serta Stabil.

“PN mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia atas tawaran supaya PN menyertai kerajaan Persekutuan pimpinan beliau,

“Namun, atas semangat untuk menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam Parlimen Malaysia, PN berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama yang lain dengan kerjasama dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang.

Anwar Ibrahim pada sidang media pertama selepas upacara angkat sumpah jawatan semalam mengundang PN untuk menyertai kerajaan perpaduan yang akan dibentuk. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!