KUCHING, 24 Nov –Anthony Loke hari ini menyatakan beliau mewakili parti DAP memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Sarawak yang tersinggung dengan mana-mana kenyataan oleh pemimpin parti itu sebelum ini.
Setiausaha Agung DAP berkata, perkara tersebut telah dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg yang turut disertai oleh Timbalan Premier, Prof. Datuk Sri Dr. Sim Kui Hian.
“Pada pagi ini, saya telah membuat kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di kediaman beliau di Kuching,
“Kami telah mengadakan perbincangan secara mesra. Saya telah memaklumkan kepada Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak,
“Saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Anthony Loke, beliau berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif. – airtimes.my