Home Semasa Pembentukan kerajaan: Majlis Raja-Raja Melayu akan bersidang esok

Pembentukan kerajaan: Majlis Raja-Raja Melayu akan bersidang esok

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah perkenan untuk menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, esok.

Perbincangan khas tersebut adalah lanjutan kepada sesi pertemuan Baginda dengan pemimpin politik dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada semalam serta hari ini.

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu adalah bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan serta kesejahteraan negara dan rakyat,

“Baginda menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqomah dan bertenang sehingga proses untuk bentuk kerajaan selesai,

“Masa depan negara adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat dan teliti,

“Rakyat telah pun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka. Maka, terserah kepada Wakil Rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat jelata,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Terdahulu, Agong telah menerima menghadap wakil daripada BN dan GPS secara berasingan pada hari ini. Kedua-dua pihak telah dititahkan untuk menghadap Agong selepas pertemuan Baginda dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!