KUALA LUMPUR, 18 Nov – Timbalan Presiden Keadilan, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan tahap sokongan pengundi Melayu terhadap parti UMNO merudum dan terburuk dalam sejarah.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, jumlah sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu adalah 26.7%.
“Sokongan pengundi Melayu kepada UMNO/BN adalah berada di paras terendah dalam sejarah,
“Tahap sokongan pengundi Melayu kepada parti itu sebelum PRU14 lalu adalah 33.6%,
“Ini menunjukkan UMNO/BN sekarang dalam keadaan lebih parah berbanding PRU lalu,” katanya.
Beliau menambah, sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan (PN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah hampir sama iaitu di antara 22% ke 23%.
“Tahap sokongan Melayu kepada PH kali ini lebih tinggi dari PRU14,
“Jumlah pengundi Melayu yang belum membuat keputusan meningkat dari minggu lepas kepada 24% iaitu pertambahan 4% dalam masa seminggu,
“Ini menunjukkan lebih ramai pengundi Melayu menukar keputusan dari mengundi UMNO/BN,” jelasnya.
Rafizi turut menyatakan senario ini membayangkan peralihan undi Melayu kepada PH.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan jumlah sokongan pengundi Cina dan India kepada PH adalah kembali ke paras PRU14.
“Sokongan keseluruhan pengundi kepada PH mengatasi sokongan UMNO/BN dan PN di semua peringkat umur pengundi,
“Peningkatan ketara ini dapat dilihat di kalangan pengundi melebih usia 55 tahun dan golongan 25-54 tahun,” ujar beliau.
Selain itu, Rafizi menyatakan sokongan keseluruhan pengundi muda (18-24 tahun) terhadap ketiga-tiga gabungan adalah hampir sama.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa PH akan kembali berkuasa sekiranya situasi sokongan tidak berubah.
“Jika pola sokongan ini tidak berubah menjelang hari mengundi esok dan jumlah kehadiran melebihi 75%, PH dijangka akan dapat menang lebih dari 100 kerusi parlimen di seluruh negara,” katanya.
Rafizi menjelaskan pola sokongan tersebut adalah berdasarkan kaji selidik terkini melalui kaedah panggilan interactive voice response.
“Para pengundi ditanya gabungan mana akan diundi dalam PRU15 ini,” katanya.
Tambah Rafizi, kaji selidik dijalankan pada 16 Nov dan 17 Nov melibatkan 1,226 pengundi berdaftar di seluruh negara.
“Mereka terpilih mengikut strata pengundi berdasarkan lata belakang. Margin kesilapan adalah 2.8%,
“Kaedah sampelsebegini membolehkan kaji selidik memberi gambara tepat yang mewakili semua pengundi berdasarkan strata masing-masing,” jelas beliau. – airtimes.my