Home PolitikPakatan Harapan PRU15: Orang ‘khianat’ mesti diterajang dari Gombak – Anwar Ibrahim

PRU15: Orang ‘khianat’ mesti diterajang dari Gombak – Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

GOMBAK, 17 Nov – Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan akan menyingkirkan ‘pengkhianat’ di Gombak untuk masa depan rakyat dan negara.

Beliau ketika berucap dihadapan kira-kira hampir 4,000 penyokongnya menyatakan sengaja memilih Gombak untuk menyingkirkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kerusi Parlimen berkenaan kerana tindakannya yang didakwa tidak amanah terhadap mandat diberikan rakyat.

“Saya memang pilih untuk datang ke Gombak, untuk ajar pengkhianat ditendang dari Gombak,

“Mereka diangkat oleh rakyat dari bawah, diangkat oleh parti yang berjuang kemudian gila dengan jawatan sanggup khianat amanah sendiri,

“Orang khianat mesti diterajang dari Gombak,” katanya ketika berucap di majlis Grand Finale Jelajah Mega Pakatan Harapan di AU2, Keramat, malam tadi.

Anwar juga membangkitkan kisah ‘Si Kitol’ iaitu watak yang dikaitkan dengan kejatuhan kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis pada abad ke-16.

“Si Kitol disula sampai mati. Saya hanya bagi contoh sejarah, kerana sejarah Melayu ajar kita supaya jangan khianat. Saya tanya seorang Cina di Perak, kalau khianat apa jadi? Dan jawapanya… zap (dipancung) sampai mati,

“Kita (PH) tak akan sula, kita takkan bakar rumah. Tetapi kita akan campak Azmin Ali dari Gombak!. Biar dia kalah teruk di Gombak,

“Biar ia jadi pengajaran kepada anak-anak Melayu di masa akan datang, jangan terima orang khianat amanah,” tegasnya.

Dalam ucapannya, Anwar juga mempertikai kemampuan Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengurangkan jumlah menteri sekiranya beliau kembali semula menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Beliau turut mempersoalkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin semula negara.

“Dia (Muhyiddin Yassin) cakap dia Perdana Menteri terbaik. Dia dan Menteri Kesihatan sementara, Khairy Jamaluddin buat dasar (berkenaan COVID-19). Sampai sekarang berapa yang meninggal dunia, berapa kos vaksin?

“Mana tender, syarikat siapa yang dapat (orang ramai) tak tahu,” katanya lagi.

Pada masa sama beliau merayu kepada pengundi memilih PH bagi memastikan gabungan tersebut membentuk kerajaan dan memberi peluang untuk membawa perubahan kepada negara.

“Saya rayu, tolong selamatkan negara. Bagi peluang kepada kita (PH) untuk sedaya upaya membawa perubahan,

“Saya harap PH diberi peluang supaya boleh menumpukan pemulihan ekonomi bagi menambah peluang pekerjaan, harga barang dapat diturunkan dan ringgit dapat dipulihkan semula,

“Saya merayu kepada anda selamatkanlah negara. Dengan umur saya, saya telah cuba dan ikhtiar sebaik mungkin. Saya terharu walaupun dicaci maki tapi saya lihat kebangkitan rakyat luar biasa,”– airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!